VAKSIN penyakit Gumboro (Bursal Disease Vaccine) atau MyVAC UPM93.
VAKSIN penyakit Gumboro (Bursal Disease Vaccine) atau MyVAC UPM93.
DR Mohd Hair bersama plak WVPA-Merial Innovation in Vaccination Award.
DR Mohd Hair bersama plak WVPA-Merial Innovation in Vaccination Award.
Azman Zakaria


Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Prof Dr Mohd Hair Bejo memenangi anugerah WVPA-Merial Innovation in Vaccination Award, hasil daripada penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan vaksin penyakit Gumboro (Bursal Disease Vaccine) di Asia.

Anugerah disampaikan pada Mesyuarat WVPA (World Veterinary Poultry Association) Asia di Manila, baru-baru ini.

Dr Mohd Hair adalah individu kedua memenangi anugerah itu yang mula diperkenalkan pada 2015. Ia diberikan kepada ahli veterinar ayam itik ataupun ahli sains kesihatan unggas yang memberi sumbangan dalam bidang inovasi dan vaksinasi ayam itik.

“Ia sebenarnya pengiktirafan antarabangsa terhadap ahli sains di rantau ini berhubung sumbangan dalam penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan produk untuk faedah manusia sejagat,” katanya ketika ditemu bual.

Sementara itu, Presiden WVPA, Nigel Horrox dipetik berkata: “Kita mempunyai pemenang yang sememangnya layak memenangi anugerah tahun ini iaitu Prof Dr Hair.”

Gumboro adalah penyakit yang menyebabkan kematian ayam yang tinggi dan hilang daya tahan (immunosuppression). Sekiranya unggas itu tidak mati, ia akan kehilangan daya tahan dan mati diserang penyakit lain.

Dr Mohd Hair berkata, virus Gumboro baru yang sangat getir (virulent) muncul di dunia pada 1980-an manakala di Asia pada 1990, sedangkan vaksin yang ada ketika itu tidak memberikan perlindungan sepenuhnya kepada ayam menyebabkan perlunya kepada vaksin baru.

Katanya, vaksin penyakit Gumboro (Bursal Disease Vaccine) atau MyVAC UPM93 itu mula dibangunkan pada 1993 dan dikomersialkan pada 2005.

“Vaksin itu hanya perlu dimasukkan ke dalam air minuman ayam,” katanya.

Sehingga 2012 sebanyak 80.46 juta dos vaksin itu dijual di Malaysia manakala di Myanmar 8.68 juta dos dijual dari 2011 hingga 2013. Ia turut dijual di Vietnam.

Pada 2015, MyHatch UPM 93 IBD Vaksin dikomersialkan dengan pengamalan pemvaksinan di tapak penetasan atau pemvaksinan hari pertama ayam menetas; satu amalan pemvaksinan ayam yang lebih berkesan.

Katanya, bagi terus membangunkan vaksin IBD, penyelidikan kini dilakukan untuk menghasilkan generasi baru vaksin seperti recombinant, reverse genetic dan transgenic plant vaccines.

Menurutnya, penyelidikan ini sudah dilakukan di peringkat makmal, sebelum dilakukan di peringkat ladang. - UPM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 1:22 PM