DR Norhayu Asib menunjukan racun serangga biologi daripada tumbuhan tuba menggunakan formulasi nano pada Hari Terbuka Inovasi Universiti Putra Malaysia.
DR Norhayu Asib menunjukan racun serangga biologi daripada tumbuhan tuba menggunakan formulasi nano pada Hari Terbuka Inovasi Universiti Putra Malaysia.
Oleh Siti Fatimah Hassan

Serdang: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkenalkan teknologi baru menerusi penghasilan 15 inovasi baru untuk dimanfaatkan pelbagai industri khususnya dalam sektor pertanian dan veterinar.

Antara inovasi yang dihasilkan itu termasuk Formulasi Mikroemulsi Racun Serangga, Kotak Pemanas Solar, baja B-Green Bio, Perancah Tulang Nanokomposit serta bahan tampalan nanokomposit untuk pembaikan tulang.

Semua hasil inovasi itu dipamerkan menerusi Hari Terbuka Inovasi yang diadakan di Fakulti Pertanian UPM, di sini, semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Promosi dan Pemasaran Inovasi Putra Science Park Dr Mohamad Fakri Zaky Jaafar, pameran itu memberi peluang kepada penggiat industri untuk bersua muka dengan penyelidik UPM dalam mencari penyelesaian terbaru menerusi teknologi baru yang dihasilkan.

Katanya, ia juga satu landasan yang disediakan UPM bagi penyelidik untuk mempromosikan hasil inovasi mereka sebelum ia dikomersialkan kepada penggiat industri yang berminat.

“Semua hasil inovasi yang dipamerkan ini tidak pernah dikomersialkan sebelum ini dan kita menjemput penggiat industri khususnya pertanian dan veterinar untuk mendapatkan teknologi terbaru.

“Mereka juga berpeluang mendapatkan pandangan daripada penyelidik UPM yang terbabit dalam bidang berkaitan.

“Ini adalah pameran mini di mana kita mengadakan kira-kira empat hingga lima kali setahun untuk mempromosikan inovasi UPM,” katanya ketika ditemui sempena Hari Terbuka Inovasi UPM, di sini, semalam.

Hadir sama Dekan Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Abdul Shukor Juraimi.

Selain itu, Mohamad Fakri Zaky berkata, usaha pengkomersialan produk inovasi UPM yang dijalankan sejak 10 tahun lalu sehingga kini sudah berjaya melesenkan sebanyak 73 produk untuk kegunaan pelbagai industri dengan perolehan mencecah RM40 juta.

Katanya, antara produk yang pernah dikomersialkan oleh UPM sebelum ini seperti vaksin untuk industri penternakan ayam, baja selain produk teknologi maklumat (ICT).

“Sebenarnya penyelidik UPM menghasilkan beratus inovasi dan yang terpilih saja dipamerkan kepada penggiat industri.

“Namun, kita turut melakukan promosi dan pemasaran untuk hasil penyelidikan lain untuk memberi manfaat kepada industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 9:55 AM