Prof  Mohamad Roji menunjukkan produk minyak kelapa dara yang menerima Anugerah Akademik Negara ke-11.
Prof Mohamad Roji menunjukkan produk minyak kelapa dara yang menerima Anugerah Akademik Negara ke-11.
HM Digital

Skudai: Penemuan proses dan teknologi baru dinamakan Teknologi Proses Basah Bersepadu (TPBB) dalam mengeluarkan minyak kelapa dara berkualiti tinggi oleh Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membolehkan ia merangkul Anugerah Akademik Negara kategori Inovasi dan Pengkomersilan Produk.

Keunikan TPBB yang ditemui Timbalan Pengarah IBD UTM Prof Dr Mohamad Roji Sarmidi bersama sembilan ahli pasukannya adalah kebolehupayaan menghasilkan 85 peratus minyak kelapa dara (VCO) berkualiti tinggi berbanding kaedah sedia ada.

Mohamad Roji berkata, umum mengetahui VCO diaplikasikan sebagai bahan asas dalam membangunkan produk hiliran seperti suplemen kesihatan, produk penjagaan diri dan kosmetik.

“Namun dengan proses TPBB ini, ia dapat mengekalkan sifat fizikal, kimia dan biologi minyak kelapa dengan kualiti tinggi.

“Sehingga kini, terdapat 10 produk berasaskan minyak kelapa yang dikomersilkan di bawah anak syarikat UTM, Phyto Biznet Sdn Bhd termasuk Nutrell VCO yang menerima pengiktirafan, baru-baru ini.

“Produk ini berada di pasaran sejak 2012 dan boleh didapati bukan saja di pasaran tempatan, malah luar negara,” katanya di UTM, di sini, semalam.

Dalam menyumbang kepada kesejahteraan hidup manusia khususnya keperluan nutrisi yang diperlukan bagi mencapai kesihatan optimum, beliau berkata, sifat kelapa yang anti oksida semulajadi itu menyebabkan buah berkenaan dipilih dalam penyelidikan dan pembangunan bioproduk mereka.

Produk VCO keluaran IBD UTM itu boleh diperoleh di kedai terpilih UTM, selain kedai dalam pasaran seperti Lazada dengan harga antara RM35 hingga RM76.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 9:08 AM