WAN Muhammad melakukan gimik pelancaran dengan menunjukkan ikan susu pada Majlis Pelancaran Rasa-Rasa Akuakultur dan Jelajah Unggulan Perikanan Negeri Johor 2024, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein.
WAN Muhammad melakukan gimik pelancaran dengan menunjukkan ikan susu pada Majlis Pelancaran Rasa-Rasa Akuakultur dan Jelajah Unggulan Perikanan Negeri Johor 2024, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein.
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri : Jabatan Perikanan (DOF) mengambil inisiatif melaksanakan penanaman semula rumput laut di Pulau Tinggi dan Pulau Sibu, Mersing yang juga kawasan ragut dan habitat dugong.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, usaha itu dilakukan bagi mengelakkan kepupusan dugong di negara ini dengan menarik lebih lagi kehadiran haiwan itu di kedua-dua pulau yang diwartakan sebagai Taman Laut itu.

Beliau berkata, bagi merancakkan lagi usaha memulihara penanaman rumput laut itu, DOF telah bekerjasama dengan Universiti Awam (UA) berkaitan, bagi menghidupkan semula santuari mamalia yang juga dikenali sebagai lembu laut itu di perairan Mersing.

"Seperti di Pulau Tinggi, kadang kala arus terlalu kuat dan akan menolak rumput laut yang tumbuh, jadi kita juga akan buat tukun untuk membangunkan 'coral' supaya rumput laut dapat berlindung daripada arus.

"Selain itu, kita juga akan meletakkan kima (sejenis kerang laut) untuk membantu habitat dugong ini kerana rumput laut juga akan hidup di kima dan seterusnya dimakan dugong," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Pelancara Rasa-Rasa Akuakultur dan Jelajah Unggulan Perikanan Negeri Johor 2024 di Kompleks Jabatan Perikatan Negeri Johor, Gelang Patah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha DOF bagi mengelakkan kepupusan dugong di perairan Mersing.

DOF sebelum ini dilaporkan berkata, Kepulauan Mersing adalah lokasi dugong kerap dijumpai, namun disebabkan ancaman terhadap habitat dan ekosistem rumput laut, populasi mamalia itu semakin mengecil.

Menurut DOF, kawasan padang rumput laut di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi, Mersing adalah kawasan ragut yang penting bagi dugong seperti yang dilihat daripada kesan ragutan pada sepanjang tinjauan rumput laut dan kesan ragutan sejak 2014.

Terdapat sekurang-kurangnya 19 kematian dugong direkodkan antara 2015 dan 2022, dengan kebanyakannya adalah anak dugong.

Pada masa sama, Wan Muhammad Aznan berkata, pembangunan sumber dan habitat dugong yang diancam kepupusan itu mestilah seiring bagi menjamin kemandirian spesies satu-satunya mamalia marin herbivor.

"Kita dapat lihat di kawasan itu kini sudah ada komuniti baharu dugong, bukan itu sahaja malah ada ikan lumba-lumba dan kuda laut juga dikesan di pulau berkenaan.

"Jadi, kita akan kerap membuat pemantauan di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada nelayan memasuki kawasan santuari itu dan tidak membenarkan aktiviti perikanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 5:31 PM