PRK hanya wadah awal untuk mengajar siswa menunaikan hak dan tidak perlu dicemari dengan isu sensasi. - Gambar hiasan
PRK hanya wadah awal untuk mengajar siswa menunaikan hak dan tidak perlu dicemari dengan isu sensasi. - Gambar hiasan
TIDAK salah menjadikan PRK sebagai medan untuk berpolitik, tapi lakukannya mengikut peraturan.- Gambar hiasan
TIDAK salah menjadikan PRK sebagai medan untuk berpolitik, tapi lakukannya mengikut peraturan.- Gambar hiasan
SISWA berharap kebajikan mereka terjaga menerusi pemilihan wakil MPP, sekali gus memudahkan proses pembelajaran dan pengajian. - Gambar hiasan
SISWA berharap kebajikan mereka terjaga menerusi pemilihan wakil MPP, sekali gus memudahkan proses pembelajaran dan pengajian. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin

Biarpun proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar atau lebih sinonim dengan panggilan Pilihan Raya Kampus (PRK) minggu lalu tercalar dengan beberapa insiden tidak dijangka, secara ke­seluruhannya PRK tahun ini mempamerkan tahap kematangan mahasiswa.

Meskipun banyak isu sensasi berlaku di luar kampus, kemampuan siswa menunjukkan kematangan dan tidak terikut-ikut dengan emosi wajar diberi pujian.

Sikap itu secara tidak langsung membuktikan mahasiswa tempatan lebih mementingkan masa depan dan pengajian serta makin bijak membuat percaturan dalam setiap tindakan yang bakal dilakukan.

Timbalan Rektor Hal-Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Datuk Dr Mizan Hitam berkata, kematangan ditunjukkan siswa menerusi PRK membuktikan golongan itu mampu berfikir dengan waras.

Menurutnya, sebagai golongan yang berilmu, mereka sewajarnya membuktikan pencapaian dalam akademik seiring dengan kepandaian akal untuk membezakan antara yang baik dan buruk.

“Selalunya kematangan siswa teruji sewaktu PRK berlangsung kerana mereka akan disogokkan dengan pelbagai isu semasa yang berlaku di luar kampus.

“Pada ketika ini, cara berfikir golongan mahasiswa akan dilihat dan dinilai sama ada tahap pemikiran mereka sama aras dengan kepandaian pencapaian akademik.

“Jika dulu siswa dikatakan mudah terpengaruh, kini secara keseluruhannya mereka tahu menilai dengan mempamerkan tahap kematangan yang boleh diberi pujian,” katanya.

Dr Mizan berkata, kematangan siswa sewajarnya diberi perhatian kerana membuktikan mereka juga boleh dibentuk dan menjadi golongan lebih baik.

“Kita jangan labelkan semua siswa sama berdasarkan satu dua insiden (buruk) yang berlaku. Itu tidak adil.

“Sebaliknya kita boleh memberi pujian, galakan dan mendekati mereka untuk menerapkan nilai-nilai murni sebagai bimbingan. Dengan cara ini, kita boleh mendidik cara menggunakan hak dengan betul tanpa mencalarkan kredibiliti mereka,” katanya.

Beliau berkata, insiden yang bertentangan dengan objektif utama PRK tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menjejaskan kredibiliti siswa sama ada secara individu atau keseluruhan.

Menurutnya, pentas PRK seharusnya menjadi medan neutral dan bebas daripada unsur provokasi dan emosi kerana ia landasan utama bagi setiap calon memperjuangkan kebajikan warga kampus.

“Saya berpendapat perjuangan menjaga kebajikan siswa lebih penting daripada mencalarkan PRK dengan isu sensasi di luar.

“PRK seharusnya mengkhususkan aspek penjagaan kebajikan siswa, bukan mencemarkannya dengan isu bersifat peribadi atau jauh terpesong daripada matlamat asal PRK diwujudkan di universiti,” katanya.

Dr Mizan tidak menafikan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 2012 membolehkan golongan siswa berpolitik.

“Bagaimanapun, pindaan AUKU jelas tidak membenarkan isu kepartian berlaku di dalam kampus walaupun siswa dibenarkan berpolitik di luar.

“Mereka sewajarnya menghormati syarat ini bagi menjaga keharmonian. Kampus kawasan berkecuali dan tujuan utama mereka datang ke sini untuk belajar hingga berjaya menggenggam ijazah.

“Semua pihak perlu menghormati hak setiap warga kampus dan jangan menjadikan PRK sebagai tindakan yang boleh menyusahkan banyak pihak,” katanya.

Beliau berkata, secara realitinya isu sensitif sengaja dimainkan pihak tertentu sebagai strategi untuk menghangatkan suasana PRK.

“Ini tindakan tidak tepat dengan objektif PRK yang sasaran asalnya untuk membentuk nilai kepemimpinan dalam kalangan siswa.

“Mewujudkan sentimen atau budaya kurang sihat menerusi PRK bukan saja akan menimbulkan isu lain, malah menyebabkan objektifnya gagal dihayati.

“Ia akan menyebabkan siswa lain keliru kerana mereka sebenarnya lebih mengingini isu kebajikan diperjuangkan, bukan isu bersifat peribadi atau kurang bermanfaat sepanjang pe­ngajian,” katanya.

Dr Mizan bagaimanapun tidak menafikan PRK boleh menjadi medan untuk golongan siswa belajar berpolitik.

“Berpolitik tak salah kerana ia proses pembelajaran jangka panjang, namun akan jadi sebaliknya jika mengganggu hak orang lain yang tidak gemar privasi mereka diganggu dengan isu kurang sesuai.

“Mereka boleh peka dengan setiap isu yang timbul, namun perlu rasional dalam tindakan,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan perjalanan PRK dan menyifatkannya sebagai proses kematangan berfikir.

“Kematangan siswa cukup ketara kerana berdasarkan pemerhatian, mereka mampu membezakan antara kepentingan, keburukan dan sebagainya.

“Mereka mampu berfikir rasional dan tidak berlarutan dalam emosi. Cuma segelintir masih beremosi menyebabkan insiden (buruk) ini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 6:14 AM