Dr Noraini Ahmad.
Dr Noraini Ahmad.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pelajar Universiti Awam (UA) yang tidak mendapat kemudahan penginapan dalam kampus kini boleh memanfaatkan Portal Rumah Siswa yang dibangunkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mencari kediaman di luar pusat pengajian masing-masing.

Portal Rumah Siswa yang dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, hari ini, membolehkan siswa mendapat panduan dalam mencari kediaman di sekitar kampus.

Ia adalah antara tiga inisiatif utama dalam Agenda Rumah Sewa Siswa yang dibangunkan kementerian itu, dalam menangani isu pengurusan dan keselamatan membabitkan pelajar UA yang tidak tinggal dalam kampus (non-residents).

Beliau berkata, portal yang dibangunkan itu dapat membantu, memantapkan inisiatif ke arah hasrat pemerkasaan, memelihara kebajikan dan akses pelajar terutamanya kepada pelajar luar kampus.

"Portal Rumah Siswa ini akan menjadi platform menghubungkan pelajar sebagai penyewa bersama pemilik premis, mendapatkan khidmat nasihat serta memudahcarakan proses pencarian bilik atau rumah sewa dengan harga yang kompetetif.

"Sehingga 16 Februari lalu, sebanyak 1,250 buah rumah sudah didaftarkan dalam Portal Rumah Siswa ini.

"Mahasiswa boleh mula mengakses portal itu melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my," katanya ketika merasmikan Portal Rumah Siswa yang diadakan secara maya, hari ini.

Noraini berkata, pelaksanaan Agenda Rumah Sewa Siswa menjadi panduan kepada pengurusan universiti mentadbir, menyelaras dan menguruskan segala keperluan, maklumat, pembangunan serta hal ehwal berkaitan kebajikan mahasiswa luar kampus, khususnya siswa yang menetap di rumah sewa agar lebih teratur dan menyeluruh.

Beliau berkata, selain Portal Rumah Sewa, dua lagi inisiatif dalam agenda itu ialah Penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus dan Pembangunan Garis Panduan Pengurusan Pelajar Luar Kampus.

Katanya, sehingga semester akademik lalu, pihaknya dimaklumkan hampir 150,000 mahasiswa Universiti Awam (UA) menetap di luar kampus.

"Saya bersama dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri pada Jun lalu. MPPK mengemukakan sebelas agenda untuk perhatian dan tindakan Kerajaan bagi memartabatkan dan memperkasakan mahasiswa di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk Agenda 1 MPPK 2020, iaitu agenda Rumah Sewa Siswa.

"Bagi merealisasikan hasrat ini, kementerian melalui kerjasama semua UA dan Majlis Perumahan Universiti Malaysia (MAPUM) mengorak langkah bagi memastikan tadbir urus pengurusan pelajar luar kampus dapat diselaraskan di setiap IPT," katanya.

Beliau berkata sehingga kini, kesemua 20 UA di negara ini sudah mewujudkan portfolio baharu bagi Pengurusan Pelajar Luar Kampus.

Pada masa sama, pengenalan Garis Panduan Pengurusan Pelajar Luar Kampus pula berfungsi sebagai rujukan dalam pengurusan pelajar luar kampus.

"Garis panduan yang komprehensif ini sangat penting bagi meningkatkan tahap kecekapan tadbir urus hal ehwal pelajar luar kampus supaya sistem yang dibina ini lebih teratur, sistematik dan relevan dengan keperluan semasa.

"Garis Panduan ini membabitkan lima skop penting iaitu Pembangunan Pelajar Luar Kampus, Perkhidmatan Pelajar Luar Kampus, Pengurusan Kebajikan Pelajar Luar Kampus, Pengurusan Rumah Sewa Luar Kampus serta Jaringan Kemasyarakatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 2:02 PM