SUKARELAWAN membantu membersihkan jalan di daerah Bang Saphan,  di Prachuap Khiri Khan yang rosak akibat banjir dan hujan lebat.  - Bangkok Post
SUKARELAWAN membantu membersihkan jalan di daerah Bang Saphan, di Prachuap Khiri Khan yang rosak akibat banjir dan hujan lebat. - Bangkok Post
Agensi

Bangkok: Thailand berdepan dengan lebih banyak kesukaran akibat banjir luar musim yang sudah meragut 40 nyawa di selatan negara itu.

Lebih buruk lagi, lebih banyak hujan dijangka melanda wilayah pengeluar getah dan tarikan pelancong itu dalam masa beberapa hari lagi, kata pegawai kanan agensi bencana negara itu, semalam.

Hujan lebat yang melanda ketika musim yang sepatutnya kering menyebabkan banjir di selatan Thailand, memutuskan hubungan jalan raya dan kereta api, mengancam tanaman serta menjejaskan 1.6 juta penduduk, kata Ketua Jabatan Pencegahan dan Pengurusan Bencana, Chatchai Promlert.

“Keadaan buruk belum berakhir. Kita menjangka lebih banyak hujan minggu ini sementara usaha pembersihan dilakukan di beberapa kawasan tempat banjir sudah surut,” katanya.

Menurut Jabatan Meteorologi di laman webnya, lebih banyak hujan dijangka hari ini.

Musim hujan di negara itu biasanya berlaku dari Jun hingga November. Banjir yang berlaku bermula 1 Januari lalu berpunca daripada hujan lebat luar musim.

Banjir kini berkurangan di lima wilayah - Yala, Ranong, Narathiwat, Pattani dan Krabi. Bagaimanapun, di tujuh wilayah lain, sejumlah 2,070 kampung di 40 daerah, keadaan masih belum pulih

Negara itu mengalami bencana banjir paling buruk pada 2011 yang menyaksikan sebahagian kawasan di utara Thailand tenggelam sehingga enam bulan dan menyebabkan lebih 900 orang mati serta melumpuhkan indusri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 8:54 AM