GAMBAR dirakam 1 Januari lalu menunjukkan dua kanak-kanak mendayung meredah banjir selepas hujan lebat di Narathiwat.  - AFP
GAMBAR dirakam 1 Januari lalu menunjukkan dua kanak-kanak mendayung meredah banjir selepas hujan lebat di Narathiwat. - AFP

Bangkok: Kementerian Dalam Negeri Thai semalam mengarahkan gabenor di beberapa wilayah selatan negara itu bersiap sedia dengan pelan pemindahan selepas hujan lebat diramal melanda wilayah itu sekali lagi.

Setiausaha Tetap Kementerian, Grisada Boonrach mengarahkan pelan berkenaan diatur selepas Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat akan berterusan di kebanyakan kawasan di wilayah itu selama 10 hari lagi.

Tempat awam seperti dewan majlis perbandaran, sekolah dan masjid akan dijadikan pusat pemindahan sementara untuk penduduk sementara agensi kerajaan lain diarah bersiap sedia untuk membekalkan makanan.

Menurut Grisada, pengagihan makanan perlu dijalankan secara teratur dan dia tidak mahu mendengar sebarang aduan daripada penduduk.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi, hujan lebat selama beberapa hari itu berkemungkinan menyebabkan banjir kilat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pengurusan Bencana, Chatchai Promlert berkata, kebanyakan 12 daerah di selatan negara itu, termasuk di Yala, Pattani dan Narathiwat masih terjejas dengan banjir akibat hujan lebat bulan lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 9:47 AM