GAMBAR fail, keadaan selepas banjir melanda sebuah kawasan di selatan Thai baru-baru ini.  - Agensi
GAMBAR fail, keadaan selepas banjir melanda sebuah kawasan di selatan Thai baru-baru ini. - Agensi

Bangkok: Sejumlah 91 orang terbunuh dalam banjir yang melanda selatan Thai dengan beberapa kawasan di lima wilayah masih ditenggelami air.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pengurusan Bencana, Chatchai Promlert berkata, hujan lebat yang bermula Disember lalu menjejaskan kehidupan 1.8 juta penduduk di 12 wilayah.

Selain 91 yang terbunuh, katanya, empat lagi masih hilang.

Banjir yang berlaku juga merosakkan jalan raya di 4,314 kawasan, 348 jambatan, 270 paip air, 123 penebat banjir dan dua empangan.

Kira-kira 70 premis kerajaan dan 2,336 sekolah juga terjejas.

“Banjir sudah surut di tujuh wilayah. Bagaimanapun, beberapa kawasan di Nakhon Si Thammarat, Surat Thani, Songkhla, Pattalung dan Pattani masih tenggelam,” kata Chatchai.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebih sedikit di selatan dalam masa beberapa hari ini kerana monsun Timur Laut yang semakin lemah.

“Kami mengambil kesempatan dengan keadaan itu untuk mengalirkan air ke laut di kawasan berkenaan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 6:29 AM