GAMBAR menunjukkan kebakaran hutan yang dikesan di Batu Panjang di daerah Rupat di Bengkalis, Riau. - Agensi
GAMBAR menunjukkan kebakaran hutan yang dikesan di Batu Panjang di daerah Rupat di Bengkalis, Riau. - Agensi
Agensi

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia masih berusaha memadamkan 11 kebakaran hutan yang dikesan di Sumatera dan Kalimantan ekoran cuaca panas yang melanda negara itu, kata pegawai semalam.

Tujuh kebakaran dikesan di Sumatera Barat, Sumatera Utara, Sumatera Selatan dan Jambi manakala selebihnya di Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur.

“Di Dharmasraya, Sumatera Barat, kebakaran berlaku di kawasan terpencil.

“Kami menggunakan helikopter pemadam api untuk mengawalnya,” kata Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar di sini, semalam.

Ujarnya, sebahagian kebakaran itu memusnahkan hutan tebal.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik meramalkan tahun ini lebih kering berbanding 2016.

Keadaan itu menyebabkan beberapa kebakaran hutan bermula bulan ini.

Tambahnya, selain berusaha memadamkan kebakaran hutan sedia ada, kerajaan juga memantau 116 titik panas di Riau, Jambi dan Sumatera Selatan, yang mempunyai dua musim kemarau setahun iaitu pada Januari hingga Mac dan Julai hingga Oktober.

Indonesia yang mempunyai hutan hujan tropika ketiga terbesar dunia bergelut mengatasi masalah kebakaran hutan pada musim kemarau yang kebanyakannya berpunca daripada aktiviti pembersihan pertanian.

Kebakaran yang berlaku hampir setiap tahun itu menyebabkan jerebu melanda beberapa negara jirannya termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 8:07 AM