BADLISHAM (dua dari kanan) bertukar MoU dengan Zamzamzairani disaksikan Akram (kiri) dan Randhill.
BADLISHAM (dua dari kanan) bertukar MoU dengan Zamzamzairani disaksikan Akram (kiri) dan Randhill.
myMetro

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) menjalin kerjasama bagi membangunkan infrastruktur telekomunikasi bersepadu, ICT dan perkhidmatan pintar untuk projek pembangunan KLIA Aeropolis yang dibangunkan MAHB.

Baru-baru ini, kedua-dua pihak melalui anak syarikat masing-masing, Malaysia Airport (Sepang) Sdn Bhd dan VADS Lyfe Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kerjasama berkenaan, baru-baru ini.

Pada majlis itu, TM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Operasi VADS Lyfe Sdn Bhd, Akram Mackeen, manakala MAHB diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali dan Pengurus Besar Perancangan Korporat, Randhill Singh.

Melalui kerjasama itu, TM dan MAHB bekerjasama rapat memperkukuhkan infrastruktur telekomunikasi dan ICT sedia ada di KLIA Aeropolis.

Pada masa sama, kedua-dua syarikat akan meneroka cara baru bagi meningkatkan lagi kemudahan pintar yang disediakan dalam usaha menjadikan KLIA Aeropolis sebagai lapangan terbang bertaraf dunia dan destinasi pelancongan utama.

Badlisham berkata, sebagai warga korporat bertanggungjawab, MAHB akan memastikan KLIA Aeropolis dibangunkan sebagai projek pembangunan lestari.

“Kerjasama dengan VADS Lyfe akan membolehkan pihaknya menawarkan perkhidmatan lebih efisien dan optimum dan pada masa sama mampu mengelakkan pembaziran tenaga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Zamzamzairani berkata, pihaknya gembira untuk menjadi sebahagian daripada syarikat yang terbabit dalam membangunkan projek pembangunan bertaraf dunia di negara ini.

Menurutnya, VADS Lyfe akan bekerjasama rapat dengan MAHB untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan pintar dan penyelesaian teknologi telekomunikasi dan ICT bersepadu untuk pembangunan KLIA Aeropolis.

“Kerjasama dimeterai ini membolehkan kami mempromosikan ‘Kehidupan Bandar Pintar (Smart City Living) dalam pelbagai penyelesaian pintar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 7:55 AM