CHEN berucap pada Sidang Kemuncak Teknologi Awan Alibaba Malaysia, semalam.
CHEN berucap pada Sidang Kemuncak Teknologi Awan Alibaba Malaysia, semalam.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pembangunan Zon Perdagangan Bebas Digital Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Aeropolis (DFTZ) atau DFTZ KLIA Aeropolis dijangka siap menjelang Jun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Cainiao KLIA Aeropolis Sdn Bhd, Johnson Chen berkata, kemajuan projek itu, baru saja mencapai 50 peratus dan dijangka beroperasi pada September 2020.

“Selepas siap, ia akan membolehkan logistik serta rakan niaga kami untuk mengeksport lebih banyak produk ke China dan ke luar rantau ini,” katanya pada Sidang Kemuncak Teknologi Awan Alibaba Malaysia di sini, semalam.

Pada 2017, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah memeterai satu perjanjian dengan Cainiao Smart Logistics Network (Hong Kong) Ltd dan MA Elogistics Sdn Bhd.

Cainiao HK dan MA Elogistics telah menyempurnakan langganan saham mereka dalam syarikat usaha sama, Cainiao KLIA Aeropolis Sdn Bhd, masing-masing pada 70 peratus dan 30 peratus.

MAHB juga mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd telah memeterai lampiran sewaan membabitkan tanah berkeluasan 24.28 hektar di Bandar Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang dengan pajakan selama 30 tahun.

Tapak itu dijangka akan menjadi platform perdagangan e-dunia yang pertama di luar China dengan kos pembangunan lebih daripada RM200 juta.

KLIA Aeropolis dijangka menerima satu tambahan nilai pelaburan sebanyak RM700 juta apabila ia beroperasi sepenuhnya.

Kawasan tapak yang sedang dibangunkan itu mempunyai keluasan 100,000 meter persegi (10 hektar) dengan kemudahan kargo dan gudang.

“Kami telah membabitkan peneraju logistik tradisional seperti GDex, platform beli-belah dalam talian Lazada dan kerjasama yang kukuh dengan MAHB serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 7:55 AM