Pembayaran levi kepada pekerja asing oleh majikan ditangguhkan selepas mendapat maklum balas.
Pembayaran levi kepada pekerja asing oleh majikan ditangguhkan selepas mendapat maklum balas.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kabinet hari ini bersetuju menangguhkan pembayaran levi kepada pekerja asing oleh majikan yang dilaksanakan menerusi Dasar Komitmen Mandatori Majikan (EMC) kepada tahun depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penangguhan itu dibuat selepas mendapat maklum balas serta permintaan daripada pihak berkepentingan terutama majikan selepas pengumuman pelaksanaan EMC berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Katanya, sebelum ini majikan tertanya-tanya adakah mereka perlu membayar levi pekerja asing selepas pelaksanaan EMC.

"Kita banyak mendapat maklum balas daripada majikan dan pihak berkepentingan berhubung perkara ini, dan selepas mendengar keluhan mereka kita setuju untuk menangguhkan pembayaran levi.

"Pada masa sama, ia juga membolehkan ekosistem pelaksanaannya diwujudkan terlebih dahulu bagi memudahkan majikan menggaji pekerja asing," katanya ketika ditemui media di lobi Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

Pada 31 Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelaksanaan berkuatkuasa 1 Januari lalu yang berperanan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asing masing-masing.

Beliau dilaporkan berkata, menerusi EMC, majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asing yang digajikan bermula dari peringkat permohonan, penggajian sehinggalah pekerja asing berkenaan dihantar pulang ke negara asal.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dipetik berkata, majikan juga bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar levi pekerja asing.

Liow berkata, ketiadaan ekosistem pelaksanaannya menimbulkan kesukaran kepada majikan kerana ia tidak boleh dilihat secara keseluruhan termasuk hak majikan untuk mendapat pekerja asing secara langsung tanpa orang tengah, mengurangkan birokrasi dan pengambilan pekerja asing dengan mudah.

"Jadi kita perlu membina ekosistemnya terlebih dahulu serta memastikan sumber (negara) untuk mendapatkan pekerja asing untuk memudahkan majikan menggaji pekerja asing,"katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk melatih pemandu bas di bawah Skim Dana Pembangunan Sumber Manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 3:50 PM