Pembantu rumah warga Indonesia, Posi R Shidin menggosok pakaian majikannya di Ampang. FOTO arkib NSTP
Pembantu rumah warga Indonesia, Posi R Shidin menggosok pakaian majikannya di Ampang. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


KERAJAAN memutuskan supaya majikan di seluruh negara bertanggungjawab untuk membayar levi pekerja asing mulai 1 Januari depan.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini berkata, melalui pelaksanaan dasar itu, semua majikan mestilah menanggung pembayaran levi bagi pekerja asing baru dan pekerja asing yang sudah diperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Menurutnya, ketetapan dasar itu turut terpakai kepada majikan yang sudah mendahulukan pembayaran levi pekerja asing sebelum dasar ini dikuatkuasakan walaupun tempoh PLKS masih aktif dari 2017 dan akan tamat tempoh pada 2018.

"Ketetapan pembayaran levi oleh majikan adalah termaktub dalam dokumen 'Employers Undertaking' yang perlu ditandatangani oleh majikan sebelum dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing.

"Tindakan tegas akan dikenakan ke atas majikan yang gagal mematuhi undang-undang, peraturan dan dasar yang sudah ditetapkan berhubung pembayaran levi pekerja asing," katanya.

Katanya, kadar pembayaran levi pekerja asing dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia di Semenanjung Malaysia bagi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan ditetapkan pada kadar RM1,850 manakala bagi sektor perladangan dan pertanian pula RM640.

Dalam pada itu, katanya, kadar levi bagi pembantu rumah pertama ditetapkan RM410, kedua (RM590), ketiga dan keempat serta berikutnya turut ditetapkan pada kadar RM590.

Sementara itu, katanya, bagi Sabah dan Sarawak pula, kadar levi bagi perkilangan dan pembinaan ditetapkan pada RM1,010, perkhidmatan (RM1,490), perladangan (RM590) dan pertanian (RM410).

"Bagi pembantu rumah pula, kadar levi bagi pembantu rumah pertama ditetapkan pada RM410, kedua (RM590), ketiga dan keempat serta seterusnya adalah RM590," katanya.

Katanya, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) menggariskan inisiatif bagi menambahbaik sistem pengurusan pekerja asing.

Antara inisiatif itu ialah mengehadkan penggajian pekerja asing pada kadar 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang 2020 selain mengawal selia kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah melalui penambahbaikan sistem levi pekerja asing.

Dalam usaha mencapai inisiatif itu, jemaah menteri pada 25 Mac 2016 bersetuju supaya bayaran levi pekerja asing ditanggung oleh majikan berkuat kuasa 1 Januari 2017.

Namun, selepas menerima pandangan dan maklum balas daripada pertubuhan majikan dan mengambil kira kos menjalankan perniagaan, tempoh penyesuaian industri dan pengurusan sumber manusia syarikat, kerajaan memutuskan supaya majikan di seluruh Malaysia bertanggungjawab untuk membayar levi pekerja asing mulai 1 Januari 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 7:10 PM