GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mencadangkan pelaksanaan eWages sebagai sistem pemantauan gaji membabitkan pekerja asing.

Menteri berkenaan Datuk Seri M. Saravanan berkata, inisiatif eWages akan dilaksana dalam masa terdekat bagi memantau pembayaran gaji yang cepat kepada pekerja asing dan cadangan itu telah dipersetujui oleh Kabinet pada 12 Januari lalu.

Beliau berkata, sebagai negara anggota Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Malaysia mempunyai kewajipan untuk mematuhi 11 indikator berkaitan buruh paksa termasuk dari aspek penyediaan tempat tinggal yang kondusif untuk pekerja.

KSM juga sudah mewajibkan majikan untuk mematuhi sepenuhnya Akta Standard Minimum Perumahan dan Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) jika ingin menggaji pekerja asing.

"Kementerian kini dalam perancangan untuk mengawal selia dan memperkenal satu Penempatan Pekerja Berpusat (CLQ) secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bagi memantau pengurusan pekerja asing dengan lebih efektif serta teratur," katanya

Saravanan berkata, pihaknya kini dalam proses memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Pekhidmat Domestik Indonesia selepas mendapat lampu hijau daripada Kabinet pada 23 Februari lalu.

Beliau berkata, MoU dengan Vietnam, Kemboja, India dan Sri Lanka kini di peringkat akhir rundingan kerana telah tamat tempoh semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara susulan pandemik Covid-19.

Katanya setakat ini, KSM telah memeterai MoU dengan 10 negara sumber dan dalam proses memuktamadkan MOU yang sudah tamat tempoh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 7:47 PM