Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mayat nelayan, Shukri Abd Rashid, 30, ditemui berhampiran Pulau Songsong, Yan pagi tadi iaitu kira-kira 19 batu nautika dari Kuala Kedah.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya menerima panggilan dari MERS 999 berhubung penemuan mayat di kawasan itu jam 8.15 pagi.

Beliau berkata, kebetulan pihaknya bersama agensi lain berada di kawasan perairan Kuala Kedah menyambung operasi pencarian nelayan terbabit pagi tadi.

"Sebuah bot Kevlar Bomba dan Kilat 7 dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) digerakkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan di lokasi mayat seperti yang dimaklumkan.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat menemui mayat mangsa yang masih berpakaian lengkap berbaju merah sebelum dibawa ke darat jam 9.50 pagi," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Bomba di jeti Kuala Kedah di sini, tadi.

Mohamad Yunus berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian Ahad lalu, Shukri dipercayai terjatuh dari bot ketika mencandat sotong seorang diri di perairan Kuala Kedah dan mayatnya ditemui pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan penyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 11:17 AM
Pihak bomba mengangkat mayat Shukri yang ditemui terapung berhampiran Pulau Songsong, Yan pagi tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Pihak bomba mengangkat mayat Shukri yang ditemui terapung berhampiran Pulau Songsong, Yan pagi tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli