DE la Cuesta (kanan) menerima trofi disampaikan Puyol.
DE la Cuesta (kanan) menerima trofi disampaikan Puyol.
AFP

Zurich: Atletico Nacional meraih hadiah Fair Play pada majlis anugerah FIFA awal pagi semalam selepas kelab Colombia itu meminta Chapecoense dinobat juara Copa Sudamericana berikutan nahas kapal terbang yang dialami kelab Brazil itu.

Chapecoense dalam penerbangan ke Medellin bagi aksi pertama final apabila kapal terbang mereka terhempas di pergunungan Colombia pada 28 November lalu, dengan hanya enam terselamat daripada 77 penumpang.

Sembilan belas pemain dan 24 lagi kakitangan kelab terkorban dalam nahas yang memusnahkan impian mereka beraksi pada final pertama Chapecoense dalam kejohanan utama.

Atletico kemudiannya meminta lawan mereka diberikan kejuaraan itu dan badan induk bola sepak Amerika Selatan Conmebol kemudiannya memenuhi permintaan itu seminggu kemudian.

“Ia satu masa yang sukar, ia final besar dan tragedi menimpa lawan kami, ia satu saat yang sukar untuk diperkatakan, sukar untuk ditangani,” kata presiden Atletico Juan Carlos de la Cuesta sebaik menerima anugerah itu daripada bekas pertahanan Barcelona dan Sepanyol Carles Puyol di Zurich.

“Kami sudah cuba menangani situasi ini dengan sebaik mungkin.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 9:03 AM