MESSI (tengah) mengasak pintu gol Chapecoense.
MESSI (tengah) mengasak pintu gol Chapecoense.
NETO (tengah) dan Ruschel sebak sebelum perlawanan.
NETO (tengah) dan Ruschel sebak sebelum perlawanan.
AFP

Barcelona: Barcelona dilihat tidak berdepan masalah untuk mengharungi perlawanan tanpa kehadiran Neymar apabila mengalahkan Chapecoense 5-0 pada perlawanan persahabatan, kelmarin.

Kelab Brazil, Chapecoense masih lagi dilanda kesedihan selepas 19 pemain dan 24 pegawai mereka terbunuh dalam nahas pesawat, tahun lalu.

Pada perlawanan yang penuh emosi itu, Chapecoense diketuai Alan Ruschel - salah seorang daripada tiga pemain yang terselamat daripada tragedi berkenaan.

Ruschel turut disertai dua pemain lain, Nieto dan Jakson Follmann. Semua rakan sepasukan mereka terbunuh ketika dalam perjalanan bertemu Atletico Nacional di final Copa Sudamericana. Pesawat yang mereka naiki terhempas di pergunungan Colombia, 28 November tahun lalu mengakibatkan 71 kematian.

Nieto dan Follmann yang terpaksa menjalani pembedahan bagi memotong kaki mereka selepas insiden berkenaan, tidak dapat menahan air mata apabila dijemput membuat sepak mula di depan 65,000 penonton di Camp Nou.

“Saya sangat gembira dapat berada di sini,” kata Ruschel.

“Saya adalah salah seorang yang paling gembira di dunia kerana terselamat daripada insiden yang sangat mengerikan itu. Saya bernasib baik dapat berada di Sepanyol, berdepan Barcelona, bermain di stadium di mana saya tidak pernah termimpi akan dapat hadir.”

Ruschel turut menerima cenderahati paling mahal apabila dapat bertukar jersi dengan Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi.

Dana hasil kutipan tiket perlawanan itu akan digunakan untuk membantu Chapecoense membina semula pasukan.

Sementara itu, Barca masih lagi terasa akan perpindahan Neymar ke Paris St-Germain menerusi yuran yang memecahkan rekod dunia.

Bagaimanapun, Gerard Deulofeu mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol selain membantu menghasilkan dua lagi jaringan.

Bekas pemain sayap Everton itu mudah menolak masuk hantaran Ivan Rakitic sebelum membuat tolakan yang disempurnakan Sergio Busquets bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Messi menghasilkan gol ketiga hasil hantaran lintang Deulofeu sebelum Luis Suarez meledak gol keempat 10 minit kemudian sambil Denis Suarez melengkapkan jaringan buat Barca.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 9:41 AM