Surabaya : Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Bangka Belitung bimbang cuaca buruk dan laut bergelora menghalang pencarian lokasi pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura pagi tadi, lapor Kompas.com.

Portal itu memetik Ketua NASARNAS Bangka Belitung, Jhoni Supriadi, di Pangkalpinang sebagai berkata, ombak besar hingga dua meter memperlahankan pergerakan kapal pasukan mencari pesawat berkenaan.

Katanya, dalam keadaan cuaca normal pun ia memerlukan masa kira-kira empat jam untuk tiba di lokasi berkenaan dan menjangkakan dalam keadaan cuaca buruk sekarang perjalanan akan mengambil masa sehingga lapan jam.

Pesawat Airbus A320 itu dipercayai berada di perairan Belitung pada koordinat 03.22.46 Selatan dan 108.50.07 Timur ketika ia hilang hubungan.

Pesawat yang membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal itu dilaporkan hilang pada jam 7.30 pagi waktu tempatan di kawasan perbatasan Laut Belitung dan Pontianak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 6:47 PM