KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes tiba  di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya untuk sidang akhbar, malam tadi.
KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya untuk sidang akhbar, malam tadi.

Kuala Lumpur: Kehilangan misteri pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang masih tidak diketahui nasib penumpang serta anak kapal diburukkan dengan penyebaran pelbagai berita palsu terutama melalui media sosial.

Penyebaran maklumat tidak sah itu mengakibatkan kacau bilau terhadap maklumat sebenar dikeluarkan pihak berkuasa selain memburukkan lagi keadaan.

Antara maklumat bercanggah yang dikesan tersebar meluas di media sosial mulai jam 11 pagi semalam adalah dakwaan penemuan bangkai pesawat itu yang didakwa ditemui dan terhempas di Pulau Belitung Timur di Laut Jawa.

Maklumat itu yang turut disiarkan media sosial republik itu turut mendakwa serpihan pesawat itu sudah ditemui di pulau berkenaan yang terhempas di lokasi 03.22.46 selatan dan 108.50.07 timur, di perairan sekitar 80-100 batu nautika dari Pulau Belitung.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kementerian Udara dan Perhubungan Indonesia Djoko Murjatmodjo menafikan maklumat itu berikutan operasi mencari sedang giat dilakukan sebelum dihentikan petang semalam berikutan halangan cuaca buruk.

Selain itu, terdapat laporan mengelirukan apabila stesen televisyen di Australia didakwa menayangkan visual mangsa terapung di lautan yang didakwa penumpang pesawat berkenaan.

Perkara itu didedahkan oleh ahli keluarga mangsa pesawat itu yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, Indonesia.

Turut mengejutkan ahli keluarga penumpang pesawat AirAsia apabila mereka menerima mesej ‘Black Berry Messenger’ (BBM) berhubung pesawat itu selamat mendarat di Belitung Timur, Indonesia.

Semua penumpang terbabit dikatakan selamat dan ia bagaikan memberi harapan palsu kepada keluarga mangsa.

Pada masa sama turut tersebar maklumat mendakwa seorang nelayan Indonesia mendengar letupan di laut sekitar Pulau Long berhampiran Pulau Belitung sekitar jam 6.30 pagi waktu tempatan sedang pesawat itu dilaporkan hilang dari radar pada jam 7.18 pagi.

Selain itu, media sosial tempatan turut menyebarkan maklumat berhubung dakwaan pesawat Indonesia Air Asia itu turut dilihat terbang rendah di ruang udara Kuching, Sarawak pagi semalam.

Bagaimanapun, belum ada laporan polis dibuat berhubung kemunculan objek didakwa pesawat itu.

Tambah menghuru-harakan keadaan apabila ada pihak sengaja mencetuskan panik dengan mendakwa sebuah lagi pesawat AirAsia turut hilang dari radar pada jam 10.15 pagi semalam.

Pesawat itu yang berlepas dari Kuching, Sarawak, didakwa turut terhempas sebelum maklumat itu disahkan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:15 AM