MISS Universe Malaysia,Kiran menggayakan pakaian berkonsepkan KLCC rekaan Rizman Ruzaini yang akan diperagakan di pertandingan Miss Universe hujung bulan ini. - FOTO Rizman Ruzaini
MISS Universe Malaysia,Kiran menggayakan pakaian berkonsepkan KLCC rekaan Rizman Ruzaini yang akan diperagakan di pertandingan Miss Universe hujung bulan ini. - FOTO Rizman Ruzaini
Georgie Joseph


Kuala Lumpur : Pereka fesyen selebriti terkenal, Rizman Ruzaini mengakui tugas menghasilkan pakaian kebangsaan untuk wakil Miss Universe Malaysia, Kiran Jassal ke pertandingan Miss Universe di Pasay City, Filipina, 30 Januari ini sangat berat dan bukanlah mudah.

Rizman, 32, yang menghasilkan rekaan berinspirasikan bangunan Menara Berkembar Petronas turut berdepan kritikan kerana dikatakan tidak menampilkan ciri-ciri budaya tempatan.

"Mungkin ramai keliru antara pakaian kebangsaan dan tradisional. Dalam pertandingan Miss Universe, pakaian kebangsaan adalah sesuatu yang melambangkan apa saja identiti yang menjadi kebanggaan negara berkenaan.

"Bukan tugas mudah untuk menghasilkan pakaian itu kerana saya membawa nama Malaysia. Ini tahun ketiga saya ditawarkan organisasi Miss Universe Malaysia untuk menghasil pakaian peserta, tetapi cuma tahun ini baru saya bersedia menyahut cabaran itu,” katanya.

Rizman berkata, persediaan sudah dilakukan sejak awal tahun lalu.

Menurutnya, dia mengadakan banyak perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum mengambil keputusan menggunakan tema Menara Berkembar Petronas," katanya.

Rizman berkata, rekaan pakaian yang menggunakan lebih 100,000 berlian perak pelbagai jenis itu dilakukan dengan teliti merangkumi idea, konsep hinggalah kepada pembuatannya.

"Saya sudah lakukan yang terbaik dan memang menaruh harapan Malaysia akan memenangi kategori pakaian terbaik nanti,” katanya.

Rizman berkata, kemenangan rekaan pakaian terbaik dalam Miss Universe sebelum ini bukanlah bercirikan tradisional seperti Tuk Tuk (Thailand), Borobudur (Indonesia), Porcelin (China) dan Ninja Samurai (Jepun).

“Pakaian yang akan dipakai Kiran nanti direka khas secara eksklusif, mahal dan bercirikan 'couture'.

Ia bukan sekadar main tampal atau digam, sebaliknya dijahit sepenuhnya dan untuk menara pada bahagian bahu kami memang gunakan tapak besi sebenar.

"Beratnya pun sudah lebih 10 kilogram dan menara itu perlu direka sesuai dengan keselesaan Kiran apabila memperagakannya nanti. Kami mahu dia berjalan dengan megah di pentas dan pada masa sama selesa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 3:46 PM