JENAMA fesyen terkenal tempatan, Rizman Ruzaini tampil membuat kejutan melalui perarakan fesyen di lokasi tumpuan pelancong di tengah ibu negara.
JENAMA fesyen terkenal tempatan, Rizman Ruzaini tampil membuat kejutan melalui perarakan fesyen di lokasi tumpuan pelancong di tengah ibu negara.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Bukan di kota raya London ataupun New York sebaliknya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Jenama fesyen terkenal tempatan, Rizman Ruzaini tampil membuat kejutan melalui perarakan fesyen di lokasi tumpuan pelancong di tengah ibu negara.

Perarakan itu mengumpulkan 50 jelitawan yang terdiri daripada model, ratu cantik dan bintang media sosial yang masing-masing menggayakan rekaan pakaian pereka berkenaan.

Jenama itu adalah gandingan duo yang juga sahabat baik, Rizman Nordin dan Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil.

Rizman berkata, walaupun perarakan fesyen adalah perkara biasa di kota fesyen dunia, namun acara seperti itu adalah kali pertama diadakan di Kuala Lumpur.

Katanya, ia juga adalah salah satu cara mereka menghargai insan yang selama ini setia bersama jenama itu sejak 17 tahun lalu.

"Wajah-wajah ini yang memperagakan rekaan Rizman Ruzaini daripada kami bukan sesiapa dan kini menjadi antara jenama utama di negara ini.

"Harapan kami adalah untuk melihat Kuala Lumpur turut tersenarai sebagai antara bandar fesyen suatu hari nanti, sama seperti Milan dan Paris," katanya.

Sementara itu, untuk menuju sasaran jualan 10 juta ringgit tahun ini, jenama itu turut memperkenalkan produk aksesori fesyen terbaharu, Basic Tote Beg.

Kata Rizman, melihat sambutan yang diterima beg itu tahun lalu, membuatkan mereka yakin untuk tampil dengan lima warna berbeza untuk tahun ini.

"Kami yakin untuk keluarkan beg ini dengan kuantiti yang lebih banyak kali ini, cuma tidak sangka ada beberapa warna yang habis dijual antaranya warna hitam.

"Mengekalkan kualiti sama, menjadi fokus kami untuk memastikan setiap produk di bawah jenama ini mampu dimiliki semua golongan iaitu hanya RM149," katanya.

Sementara itu, Rizman berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk memperkenalkan kedai utama berbentuk fizikal bagi memudahkan pelanggan melawat jenama berkenaan secara terus.

Katanya, jika dua tahun lalu orang ramai lebih suka membeli secara atas talian, tetapi sekarang, ramai yang lebih senang melihat dan berasa sendiri material setiap produk yang dijual.

"Perbincangan sudah dilakukan dan di mana lokasinya kami akan umumkan sedikit masa lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 6:30 AM