Che Hasni melihat teksi yang disita dalam Ops Parasit selepas sidang media di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Che Hasni melihat teksi yang disita dalam Ops Parasit selepas sidang media di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) merekodkan sebanyak RM229,400 jumlah keseluruhan denda dikenakan terhadap ulat teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 sepanjang 2016.

Pengurus Besar Kanan Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, jumlah berkenaan meliputi 58 kes ulat teksi yang ditangkap di kedua-dua pintu masuk negara iaitu 18 ulat di KLIA serta 40 di klia2.

"Kebiasaanya ulat ini datang daripada pelbagai jenis atau kereta sapu dan yang terkini, Uber dan Grabcar turut terbabit dalam kegiatan haram itu dan mereka menggunakan kaedah menutup aplikasi masing-masing kemudian memujuk pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 13 Uber dan Grabcar ditangkap kerana melakukan kegiatan ulat yang mula beroperasi sejak Oktober lalu," katanya pada sidang media selepas OPS Parasit di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua individu yang ditahan pada tahun lalu berkaitan ulat teksi diambil tindakan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 sekaligus menyita semua kenderaan digunakan.

Sementara itu, Che Hasni berkata, Ops Parasit dilaksanakan pada hari ini bermula seawal jam 6 pagi hingga 8 malam berjaya menahan tiga ulat di KLIA serta klia2.

"Mereka yang ditahan kini direman dan akan dibawa ke Mahkamah Sepang esok untuk sebutan kes dan jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pengusaha kereta sapu boleh didakwa mengikut Seksyen 16 APAD 2010 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali manakala, kenderaan yang digunakan sebagai kereta sapu boleh dilucut hak milik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 12:24 AM