KUALA LUMPUR 12 OCTOBER 2015. Tinjauan Teksi, Uber dan Grabcar di sekitar Kuala Lumpur. NSTP/Saddam Yusoff
KUALA LUMPUR 12 OCTOBER 2015. Tinjauan Teksi, Uber dan Grabcar di sekitar Kuala Lumpur. NSTP/Saddam Yusoff

Kuala Lumpur: Polis menasihati pemandu teksi agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar yang dikatakan beroperasi secara haram.

"Tengok undang-undang sedia ada dan buat laporan dan kita akan ambil tindakan," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa, mengulas kejadian pemandu teksi yang dirakam menyerang dua kereta didakwa milik pemandu Uber dan GrabCar yang dipercayai berlaku di kawasan berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Video rakaman insiden berkenaan menjadi viral di media sosial Jumaat lalu.

Penasihat syarikat Teksi Premium Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail turut tidak bersetuju dengan tindakan agresif sedemikian.

“Memang kita tak setuju, tapi bila orang dah marah, kita tak tahu apa boleh berlaku," katanya.

Beliau berkata kira-kira 300 pemandu teksinya yang beroperasi di KLCC turut mengadu pendapatan mereka terjejas sejak dua bulan lalu dengan kehadiran perkhidmatan dua teksi berkenaan yang menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mendapatkan pelanggan.

Shamsubahrin mahu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memantau perkhidmatan teksi tersebut.

Beliau berkata berkata satu mesyuarat antara pengurusan KLCC, SPAD, polis dan syarikatnya akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian.

Pengurus Operasi Silvercab Sdn Bhd, Adnan Mohamad kesal kerana walaupun penguatkuasaan dilakukan terhadap pemandu Uber dan GrabCar, tetapi kegiatan mereka masih berleluasa.

"Bila saya pergi ke Bandar Enstek, lokasi stor tempat SPAD sita kenderaan, memang ada kenderaan Uber and GrabCar yang disita dan SPAD juga ada keluarkan statistik penahanan. Tapi 'prebet sapu' Uber dan GrabCar masih berleluasa," katanya.

Adnan berkata syarikat teksi lain tidak menghalang operasi Uber dan GrabCar sekiranya pemandu mereka berkhidmat mengikut prosedur seperti memiliki permit dan mempunyai kad pemandu sah dikeluarkan SPAD. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 10:03 PM