MAYAT mangsa lemas ditemui orang ramai. FOTO ihsan Bomba
MAYAT mangsa lemas ditemui orang ramai. FOTO ihsan Bomba
Ardyhansah Amat dan Cleo Will


Ranau: Tiga beranak ditemui lemas ketika berkelah di air terjun Sungai Nunuk Ragang, Kampung Tempios, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, mangsa, Josep Jami, 44, dan dua anak perempuannya iaitu Esmerelbe Gene Josep, 20, serta Eheishia Gene Josep, 8, didakwa hilang ketika mandi di lokasi kejadian.

"Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.02 tengah hari tadi.

"Bagaimanapun, kami terpaksa mengambil masa yang lama untuk ke sana memandangkan jarak ke lokasi kejadian sejauh 52 kilometer," katanya.

Tambah beliau, sebaik tiba, ketiga-tiga mangsa ditemui orang ramai dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, ketika mandi, Eheishia dikatakan lemas dan cuba diselamatkan ayahnya.

"Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Josep apabila dia juga lemas menyebabkan Esmerelbe cuba menyelamatkan mereka sebelum turut lemas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 6:42 PM