Senjata api buatan sendiri jenis bakakuk. FOTO arkib NSTP
Senjata api buatan sendiri jenis bakakuk. FOTO arkib NSTP
Cleo Will


REMAJA lelaki maut apabila terkena tembakan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk yang dilepaskan abangnya ketika mereka sedang memburu babi hutan di kawasan hutan berhampiran kebun kelapa sawit, Kampung Taba Nunuk Ragang, dekat Ranau, awal pagi, hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, Ilylie Saim@Imran, 18, disahkan meninggal dunia di Hospital Ranau akibat dua kesan tembakan di dada kiri dan paha kiri.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pada 4.30 pagi, adik beradik itu memburu bersama di kawasan hutan berhampiran kampung mereka dengan ditemani seekor anjing.

"Selepas 30 minit memburu, anjing mereka menyalak dan suspek berlari ke arah salakan anjing itu sebelum melihat seekor babi hutan lalu di hadapannya.

"Tanpa berlengah, suspek melepaskan tembakan ke arah babi hutan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, suspek terdengar suara adiknya meminta tolong sebelum dia melihat adiknya terbaring berlumuran darah sambil memegang dada kiri.

"Dalam keadaan panik, suspek memikul mangsa pulang ke rumah kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

"Suspek bersama ahli keluarganya membawa mangsa ke Hospital Ranau, untuk rawatan lanjut dengan menggunakan kenderaan jiran," katanya.

Farhan berkata, setibanya di Hospital Ranau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.

"Pemeriksaan ke atas mayat mendapati terdapat dua kesan tembakan di dada kiri dan bahagian atas tulang paha sebelah kiri dipercayai menggunakan senjata api buatan sendiri bakakuk.

"Suspek yang juga abang mangsa berusia 19 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 6:54 PM