ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


Beaufort: Lelaki maut manakala rakannya cedera selepas van dinaiki terhumban ke dalam loji kumbahan dalam binaan di Kilometer 4, Jalan Beaufort-Papar, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.15 malam itu, mangsa Andrew Mustal, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat lemas selepas terperangkap di dalam van berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga penumpang van bersama rakannya itu dikatakan dalam perjalanan dari Labuan menuju ke Kota Kinabalu.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, van itu hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam loji kumbahan yang dalam proses pembinaan selain mengandungi air sedalam kira-kira enam meter.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa terperangkap dan pemandu van berusia 22 tahun berjaya keluar namun mangsa pula sebaliknya.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat lemas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seskyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 9:35 AM