FOTO fail menunjukkan asap tebal dari kawah Lewotobi Laki-Laki. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan asap tebal dari kawah Lewotobi Laki-Laki. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran tahap tertinggi dan arahan pemindahan penduduk apabila Gunung Lewotobi Laki-Laki di Indonesia, kembali meletus, pada Rabu, sehingga memuntahkan awan abu dua kilometer di atas puncak setinggi hampir dua kilometer.

Letusan itu susulan aktiviti gunung berapi yang meningkat selama berminggu-minggu di gunung itu yang terletak di timur Pulau Flores.

Pegawai tempatan, Benediktus Bolibapa Herin berkata, dua pusat perlindungan sementara dibuka bagi menempatkan kira-kira 5,000 orang.

"Masyarakat digesa segera berpindah ke tempat selamat untuk mengelakkan abu panas dari gunung berapi," katanya kepada AFP.

Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi (PVMBG) Selasa lalu menaikkan tahap amaran Lewotobi Laki-Laki kepada empat, selepas ia dinaikkan ke paras kedua tertinggi pada minggu lalu dan mengenakan zon pengecualian empat hingga lima kilometer di sekitar kawah.

Ketua PVMBG Hendra Gunawan dalam satu kenyataan menasihatkan penduduk tempatan berwaspada dengan potensi banjir apabila aliran lumpur gunung berapi mengalir ke sungai.

"Orang ramai harus memakai pelitup muka untuk mengelakkan bahaya abu gunung berapi masuk dalam saluran pernafasan," katanya.

Negara kepulauan Asia Tenggara terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti gunung berapi dan seismik yang sengit, dan mempunyai hampir 130 gunung berapi.

Pihak berkuasa Indonesia pada Selasa meningkatkan status berjaga-jaga Gunung Marapi yang terletak di Pulau Sumatera ke tahap kedua tertinggi dan mengenakan zon pengecualian 4.5 kilometer dari kawahnya.

Letusan Marapi yang bermaksud gunung api pada Disember lalu mengorbankan 23 orang, setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 11:47 AM