ZAHIDI (kiri) tewas kepada lawan dari Korea Selatan, Shin Baek Ho untuk raih perak  di Kejohanan Boling Para Dunia 2018, Sarawak. FOTO/FAIL
ZAHIDI (kiri) tewas kepada lawan dari Korea Selatan, Shin Baek Ho untuk raih perak di Kejohanan Boling Para Dunia 2018, Sarawak. FOTO/FAIL
Haika Khazi

PEMAIN boling kerusi roda negara, Zahidi Lamsah meraih perak dalam acara keseluruhan TPB8 (All Event) di Kejohanan Boling Para Jelajah Dunia Liga Ketiga 2018 di Sarawak, kelmarin selepas tewas kepada lawan dari Korea Selatan, Shin Baek Ho.

Zahidi, merasakan kemenangan itu amat bermakna dan membakar semangatnya untuk terus berusaha bagi meraih emas di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta Indonesia, pada 6 hingga 13 Oktober depan.

“Walaupun jurulatih dan pengurusan hanya meletakkan sasaran menaiki podium kerana tidak mahu memberi tekanan, saya yakin mampu menang emas dalam acara individu dan berpasukan,”kata Zahidi.

“Tambahan pula sebelum ini saya pernah menjadi pemain terbaik dunia. Jadi tidak mustahil saya boleh menang emas dalam acara individu dan berpasukan di Sukan Para Asia 2018 nanti.”

Untuk rekod, Zahidi, 41, yang bekerja sebagai pembantu Tadbir Pengkeranian dan Operasi di Institusi Perlindungan Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz, Melaka, lumpuh dari paras dada ke bawah akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1995.

Nama Zahidi mula meniti dibibir peminat sukan boling tanah air selepas dia dan dua rakan sepasukannya, Mohd Azrin Rahim dan Muhamad Amin meraih emas dalam acara - Trio Campuran TPB8+TPB9+TPB10 di Sukan Para ASEAN, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 1:31 PM