BERNAMA

Seremban: Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri tidak mahu membebankan rakyat dengan kempen tanpa beg plastik dalam urusan beli-belah.

"Kalau kita tak pakai plastik, orang kena bayar (untuk dapatkan plastik), jadi, ini membebankan rakyat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri berhasrat mengikut jejak Kerajaan Selangor yang mengharamkan penggunaan beg plastik dan polisterin dalam urusan membeli-belah mulai tahun depan.

Mohamad berkata, dengan pelaksanaan dasar atau kempen tanpa beg plastik, ia akan membuka ruang dan peluang kepada pihak lain membuat keuntungan.

"Kerana dasar dibuat kerajaan, pemilik pasar raya, pemilik perniagaan boleh buat duit dengan plastik beg yang sepatutnya diberi secara percuma. Terpulanglah, saya tidak akan ikut (cara) itu.

“Apa yang kita buat di Negeri Sembilan ialah kita tidak mahu menambahkan lagi beban rakyat dan kita mahu mendidik rakyat mengenai kitar semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 8:00 PM