Noor Halif. FOTO Nursyahirah Marzuki
Noor Halif. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


Sepang: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan memansuhkan penggunaan beg plastik dan bekas makanan polisterin secara berperingkat mulai tahun depan.

Pengarah Jabatan Perlesenannya Noor Halif Noorzan berkata, pendekatan itu diambil bagi membendung masalah pencemaran, sekali gus membantu menjaga kelestarian alam sekitar.

Katanya, pihaknya mengambil pendekatan awal untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada peniaga dan orang ramai terhadap isu alam sekitar menerusi kempen 'Ramadan Yang Mapan' bermula tahun ini.

"Sejak tahun lalu kita menjalankan kempen 'hari tanpa beg plastik' pada hari Sabtu namun, pada tahun ini kita mengambil langkah untuk melaksanakan hari tanpa beg plastik bermula hari Jumaat hingga Ahad.

"Ia selaras dengan usaha untuk memansuhkan penggunaan plastik dan polisterin mulai tahun depan. Ia dilaksanakan secara berperingkat supaya peniaga tidak terkejut,"katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan taklimat Pasar Ramadan di kawasan Sepang di sini hari ini.

Noor Halif berkata, berikutan pemansuhan itu, pada peringkat permulaan peniaga disarankan menggunakan penggunaan beg plastik biodegradasi iaitu plastik mesra alam ketika urusan jual beli.

Katanya, pelaksanaan ini dilakukan untuk memberi pendedahan kepada peniaga dan pelanggan untuk bersama menjaga kebersihan dan kesejahteraan sekitar kawasan sekali gus memelihara alam sekitar pada masa akan datang.

"Kita juga berharap pelanggan turut memberi kerjasama dengan membawa beg serba guna dari rumah sebelum datang ke bazar ramadan untuk memudahkan mereka mengisi makanan yang dibeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 5:21 PM