WAN Suhana (gambar gecil, kanan) meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas dua hari dirawat di hospital akibat kemalangan. FOTO ihsan Bomba
WAN Suhana (gambar gecil, kanan) meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas dua hari dirawat di hospital akibat kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Ibu kepada kembar tiga yang terbabit kemalangan di Kilometer 3.8 Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Desa Permai, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33, meninggal dunia 1.40 tengah hari tadi, selepas dua hari dirawat di hospital itu.

"Wan Suhana mengalami kecederaan pada bahagian dalaman dan kaki meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ. Kematian mangsa menjadikan lima maut dalam kemalangan yang berlaku jam 3 petang, Sabtu lalu.

"Seorang lagi mangsa iaitu adik iparnya, Nursyuhaidah Jusoh, 23, masih menerima rawatan di HTJ manakala seorang daripada tiga anak kembar mangsa, Nur Farhimi berusia setahun sudah dibenarkan keluar wad," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, suaminya Mohd Fadzil Jusoh, 37, dua anak kembar iaitu Muhd Farhan dan Nur Farhana serta ibu Mohd Fadzil, Nazipah Chik, 60, meninggal dunia pada hari kejadian.

Kemalangan itu berlaku apabila Proton Saga dinaiki enam sekeluarga terbabit dari Kemaman, Terengganu ke Johor bertembung dengan Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 3:18 PM