Jenazah Wan Suhana  diusung penduduk Kampung sebaik tiba di Surau Kampung Serating sebelum dikebumikan.
Jenazah Wan Suhana diusung penduduk Kampung sebaik tiba di Surau Kampung Serating sebelum dikebumikan.
Rosli Ilham


Marang: Muhammad Farhimi Mohd Fadzil berusia setahun yang terselamat dalam kemalangan di Kilometer 3.8, Jalan Tampin-Gemas, dekat Desa Permai, Negeri Sembilan, Sabtu lalu akan dijaga bapa saudaranya.

Kemalangan membabitkan dua kenderaan berkenaan mengorbankan ibu bapanya, nenek dan dua kembarnya.

Mohd Syukri Jusoh, 33, berkata, dia sudah berbincang dengan keluarganya dan sebelah kakak iparnya mengenai hasrat menjaga kanak-kanak itu.

Menurutnya yang juga adik kepada Mohd Fadzil, 37, yang maut dalam kemalangan itu, walaupun pendapatannya sebagai posmen di Pos Malaysia tidak besar tetapi dia akan berusaha menyara dan memberi pendidikan terbaik kepada anak saudaranya itu.

“Semua pihak sudah bersetuju memberi kebenaran kepada saya menjaga Muhammad Farhimi dan saya akan berusaha sedaya upaya menjaganya seperti anak sendiri.

“Saya tidak boleh menolak, ini amanah disuratkan Ilahi kepada saya untuk menjaga serta memberi pendidikan kepada Muhammad Farhimi yang juga merupakan darah daging saya,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Menurutnya, Muhammad Farhimi yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban sudah dibenarkan keluar dan adik Mohd Syukri iaitu Nursyuhaidah, 23, pula dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan serta dijangka pulang dalam masa terdekat.

Selain Mohd Fadzil yang maut dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, turut terkorban ibunya, Nazipah Chik, 60, serta dua kembar Muhammad Farhimi iaitu Muhammad Farham dan Nur Farhana.

Isteri Mohd Fadzil dan juga ibu tiga kembar terbabit, Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Jaafar, tengah hari kelmarin.

Wan Suhana selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serating, di sini, kira-kira jam 2 pagi semalam selepas jenazahnya tiba dari Seremban jam 1.30 pagi sebelum disolatkan di surau kampung itu.

Jenazah Mohd Fadzil, ibunya serta dua anak kembarnya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjai, Kemaman, jam 9 malam Ahad lalu.

Jenazah Mohd Fadzil diletakkan bersama Muhammad Farhan dalam satu keranda manakala jenazah Nazipah dalam satu keranda berasingan bersama Nur Farhana.

Sementara itu, ibu Wan Suhana, Kelsom Ludi, 61, berkata, dua minggu lalu dia ada bermimpi menghadiri kenduri di rumah besannya (Nazipah) yang dihadiri ramai orang.

Menurutnya, mimpi itu akhirnya menjadi petanda kepada kejadian terbabit sekali gus meragut lima nyawa termasuk anak, menantu, cucu dan besannya.

Katanya, sepanjang tiga hari sebelum kejadian itu, hatinya sentiasa berdebar dan pada malam sehari sebelum kejadian itu perasaannya menjadi tidak tenang hingga sukar melelapkan mata.

“Pada malam sebelum kejadian, saya bangun tidur dan membaca surah Yasin sebanyak dua kali serta minum dua botol air bacaan surah Yasin untuk menenangkan perasaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 9:17 AM