MALIK mahu teruskan aksi cemerlang.
MALIK mahu teruskan aksi cemerlang.
Asrol Awang


Kuantan: Penjaring terbanyak Liga Perdana dalam kalangan pemain tempatan musim ini, Abdul Malik Mat Arif berazam untuk muncul penjaring terbanyak sekali gus bersaing dengan penyerang import dalam saingan Liga Malaysia musim 2017.

Biarpun berdepan saingan sengit, Malik yang juga kapten Kuantan FA mahu membantu skuad itu meraih kejayaan bermakna selepas hanya menduduki tangga kelapan musim ini.

Menurutnya, anugerah yang diterima itu memberi suntikan moral kepadanya untuk meneruskan prestasi cemerlang buat skuad The Seagulls yang mahu meraih kedudukan lebih baik musim depan.

“Bagi saya, anugerah ini cukup bermakna dan berazam untuk mempertajamkan lagi sentuhan jaringan dan pada masa sama dapat bersaing dengan penyerang import.

“Dengan sokongan rakan sepasukan, misi kami untuk meletakkan Kuantan FA di kedudukan terbaik akan terlaksana termasuk dengan kehadiran pemain baru dalam skuad ini musim depan,” katanya semalam.

Musim ini, Malik meledak 10 gol buat The Seagulls dan muncul pemain tempatan terbanyak menjaringkan gol, sekali gus muncul pemenang Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana.

Bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan, anak kelahiran Beserah, Kuantan itu akan memastikan Kuantan FA lebih mantap dan memberi tentangan sengit terhadap lawan.

Menurutnya, dengan kejayaan jurulatih Zulhamizan Zakaria membantu Pahang muncul juara Piala Emas Raja-Raja musim ini, segalanya akan membuahkan kejayaan buat pasukan.

“Oleh itu kerjasama dan komitmen tinggi ditagih rakan sepasukan untuk memastikan musim ketiga The Seagulls dalam saingan Liga Malaysia lebih menggembirakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 9:05 AM