Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6,000 dalam serbuan di pusat hiburan Jalan Tembaga, Seberang Jalan Putra di sini, semalam dan menahan pengurus lelaki bersama 22 pelanggannya kerana positif dadah.

Dalam serbuan 1 pagi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah yang menerima maklumat berhubung kegiatan itu bertindak menyerbu premis terbabit dan menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, eramin 5 dan pil ecstasy.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, dalam serbuan itu pihaknya memeriksan 171 pengunjung terdiri daripada 115 lelaki dan 56 wanita sebelum 18 lelaki dan empat wanita berusia 18 hingga 57 tahun ditahan kerana positif dadah.

Menurutnya, pengurus lelaki berusia 34 tahun turut ditahan kerana membenarkan premis itu digunakan sebagai tempat mengedar dadah.

"Kita merampas empat peket plastik mengandungi dadah ketamin, satu peket plastik mengandungi 84 biji pil eramin 5 dan satu peket plastik mengandungi serbuk warna merah dipercayai ecstasy.

"Selain itu kita turut merampas satu peket plastik lutsinar mengandungi serbuk biru dipercayaiecstasy, sebotol coca-cola 390 milimeter disyaki mengandungi cecair dadah, sebotol warna biru mengandungi dua biji pilecstasy, lima batang rokok mengandungi bahan dadah dan pelbagai dadah lain," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, hari ini.

Asri berkata, pengurus lelaki terbabit direman semalam hingga esok bagi membantu siasatan dan 22 pengunjung yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan urin daripada Jabatan Patologi.

"Siasatan Lanjut dijalankan mengikut Seksyen 13 (c) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 3:56 PM
ASRI (dua kanan)  bersama pegawainya  menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas. FOTO Amran Hamid
ASRI (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas. FOTO Amran Hamid