ACP Beh Eng Hai, (tengah) pada sidang media di IPD Sentul. FOTO FATHIL ASRI.
ACP Beh Eng Hai, (tengah) pada sidang media di IPD Sentul. FOTO FATHIL ASRI.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kegiatan empat beranak membekal dan mengedar dadah untuk pasaran Lembah Klang sejak setahun lalu berakhir selepas ditahan polis Isnin lalu.

Perbuatan mereka terbongkar selepas polis menahan sepasang suami isteri di sebuah kondominium di Jalan Kuching, di sini, dan merampas dadah bernilai RM328,385.

Tangkapan itu membawa kepada penahanan empat beranak yang menjadi pengedar dadah selain turut memproses sendiri bahan terlarang di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul, menjalankan risikan ke atas satu sindiket dadah yang bergerak aktif di Lembah Klang.

Menurutnya, pada jam 1.45 pagi Isnin lalu, operasi dilancarkan di sebuah kondominium di Jalan Kuching, dan berjaya menangkap suami isteri berusia 38 serta 27 tahun kerana disyaki terbabit dengan pengedaran dadah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menjumpai 400 pil Eramin 5 dan satu peket plastik lut sinar mengandungi 70 pil warna biru disyaki ekstasi.

"Polis turut merampas satu peket plastik lutsinar mengandungi 70 pil disyaki ekstasi (24.5 gram) dan satu peket plastik lutsinar disyaki mengandungi ketamin (5.9 gram).

"Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM2,057 dipercayai hasil jualan dadah. Hasil ujian saringan awal terhadap suspek lelaki mendapati dia positif dadah manakala suspek wanita negatif," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Eng Lai berkata, hasil soal siasat, pasukan polis BSJND Sentul membuat serbuan kedua pada jam 4.30 petang di tempat letak kereta di kondominium sama dan menahan lelaki berusia 47 tahun bersama anak perempuan tirinya berusia 18 tahun.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta menjumpai 11,000 biji pil disyaki pil Eramin 5 (3,395 gram), dua peket plastik lutsinar dengan satu mengandungi 100 biji pil yang disyaki ekstasi (75 gram) dan lima peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki ketamin (250 gram) bersama wang tunai RM7,000 dipercayai hasil jualan dadah.

"Hasil ujian saringan awal terhadap suspek lelaki dapati positif dadah manakala remaja perempuan itu negatif dadah," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Indah Perdana, Kepong jam 6.30 petang dan menahan anak lelaki tiri berusia 19 tahun dan isteri berumur 38 tahun.

"Hasil pemeriksaan menyeluruh di rumah itu menjumpai dua peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki ketamin (100 gram) dan sembilan peket plastik lutsinar mengandungi serbuk dipercayai MDMA (90 gram).

"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM40,000 dipercayai hasil jualan dadah.

"Suspek turut memproses ketamin di rumahnya dan dijual semula, sementara bagi pil Eramin 5 dan pil ekstasi diperolehi dari pembekal iaitu lelaki tempatan di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

"Siasatan awal kita mendapati isteri dan dua anak tirinya juga terbabit dalam kegiatan itu," katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 26 Julai sehingga 1 Ogos ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Rampasan dadah pada sidang media di IPD Sentul. FOTO FATHIL ASRI.
Rampasan dadah pada sidang media di IPD Sentul. FOTO FATHIL ASRI.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 5:36 PM