ANTARA peralatan gimnasium yang ada di Impulse Fitness Showroom.
ANTARA peralatan gimnasium yang ada di Impulse Fitness Showroom.
MOHD Azlan (kiri),  Khairy Jamaluddin (tengah) dan  Ahmad Ridzuan di Impulse Fitness Showroom, Desa Melawati.
MOHD Azlan (kiri), Khairy Jamaluddin (tengah) dan Ahmad Ridzuan di Impulse Fitness Showroom, Desa Melawati.
Hamizah Badiran


Kuala Lumpur: Bersenam di gimnasium pada masa kini menjadi satu aktiviti yang semakin diminati. Bukan sahaja lelaki, amalan gaya hidup sihat ini turut mempengaruhi wanita dan golongan tua.

Bagi pemilik Revolution Gym & Fitness Mohd Azlan Mohd Supian, selain menjadi trend, mengunjungi gimnasium juga adalah satu keperluan kepada orang ramai disebabkan perubahan gaya hidup pada masa kini.

“Faktor gaya hidup yang berubah menyebabkan ramai orang menjadikan aktiviti bersenam di gimnasium sebagai keperluan untuk mengekalkan kesihatan di samping menjaga penampilan.

“Tujuan setiap individu datang ke gimnasium juga berbeza-beza. Dahulu, golongan lelaki lebih ramai ke gimnasium untuk melakukan senaman latihan beban (weight training), kini mereka lebih menumpukan untuk kekal aktif dan menguruskan badan,” katanya.

Selain itu, golongan wanita juga semakin ramai mengunjungi gimnasium disebabkan terdapat banyak pilihan senaman yang boleh dilakukan seperti zumba, pilates dan yoga.

Menurutnya, orang ramai semakin menggemari dan mengunjungi gimnasium pada sekitar tahun 2000 hingga 2008 dengan majoriti pengunjungnya adalah lelaki.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana gimnasium adalah lokasi terbaik dan selamat untuk melakukan senaman.

“Ini kerana ruangannya lebih selesa dan tertutup di samping menyediakan perkhidmatan menyeluruh serta waktu operasi yang panjang.

“Kebanyakan pengunjung gimnasium saya adalah mereka yang sukakan senaman bina badan kerana di sini kami mempunyai jurulatih terlatih dalam bidang ini,” jelasnya yang turut menjual peralatan gimnasium jenama Impulse Fitness bersama rakan kongsi, Ahmad Ridzuan Mohamed Said.

Azlan berkata, dengan bantuan jurulatih kecergasan dan pelbagai set peralatan gimnasiumnya, beliau dapat membantu pengunjung mendapatkan bentuk badan idaman.

Sementara itu, Ahmad Ridzuan pula berpendapat, tanpa melakukan senaman seseorang itu akan sentiasa berasa tidak cergas dan bermaya.

“Walau sesibuk mana pun seseorang individu itu, kita perlu meluangkan sedikit masa untuk aktiviti bersenam.

“Malah, kempen FitMalaysia yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha menggalakkan orang ramai beriadah dan bersenam turut menjadi faktor penggalak kepada orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan berkunjung ke gimnasium,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 1:41 PM