AMMAR (kiri) miliki kumpulan khas di gimnasium dikenali sebagai Muscle Group. Taufiq (kanan).
AMMAR (kiri) miliki kumpulan khas di gimnasium dikenali sebagai Muscle Group. Taufiq (kanan).
Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penjagaan kesihatan dan kecergasan adalah aktiviti yang perlu dititikberatkan setiap individu, tidak kira daripada apa juga latar belakang mahupun kerjaya.

Bercakap mengenai penjagaan kesihatan, tentunya setiap daripada kita memiliki cara dan rutin tersendiri dalam memastikan tubuh badan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan bertenaga.

Bagi selebriti, penjagaan kesihatan dan kecergasan tentunya penting memandangkan tugas mereka sebagai selebriti memerlukan tenaga.

Pada masa sama, ia juga menyumbang kepada penampilan mereka yang perlu sentiasa rapi dan menarik.

PELAKON & PELAWAK, AZIZUL AMMAR

Pelakon, pelawak dan pengacara, Azizul Ammar aktif bersenam kerana ingin seimbangkan dengan keinginannya untuk makan.

"Saya tak nafikan cabarannya adalah Malaysia memiliki pelbagai juadah enak. Jadi, saya bersenam untuk menikmati makanan yang ada.

"Bila dah makan, saya tahu saya perlu bersenam untuk membakar semula apa yang saya makan sebelum itu. Namun, saya juga memastikan ia adalah makanan sihat. Contohnya, nasi lemak ada bahagian yang tidak sihatnya. Jadi, kena bijak atur jadual senaman," katanya.

Berkongsi mengenai rutin senamannya, Ammar dan rakan-rakan di gimnasium tempat dia bersenam ada mewujudkan satu kumpulan khas dikenali sebagai Muscle Group.

"Kalau boleh, saya cuba lengkapkan lima kali dalam seminggu untuk bersenam di gimnasium. Untuk saya dan beberapa rakan, kami ada kumpulan Muscle Group untuk motivasikan antara satu sama lain.

"Selalunya, kami akan bersenam sama-sama pada sebelah malam. Jadi, setiap hari kami akan bersenam dan tekankan bahagian tubuh yang berbeza. Contohnya Isnin untuk kaki, Selasa untuk dada dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, paling penting adalah disiplin dan pastikan diri sentiasa konsisten.

"Kalau di rumah pun, saya lakukan senaman asas untuk pastikan otot bekerja. Apa yang penting adalah disiplin dan kekal konsisten. Paling malas pun, saya sarankan agar luangkan masa untuk berjalan sebab itu pun boleh membakar kalori," katanya.

Ditanya mengenai tekad dan tanggungjawab sebagai pelakon, Ammar akan menyahut cabaran sekiranya diminta mengubah bentuk badannya yang kini sasa, kepada bentuk yang berbeza.

"Kalau diminta untuk ubah bentuk badan, contohnya menjadi kurus atau apa, saya akan buat kerana itu adalah cabaran sebagai pelakon. Lagipun, saya sendiri pun dah tahu cara untuk dapatkan balik bentuk badan saya," katanya.

   

PELAKON, TAUFIQ HANAFI

   

Rutin penjagaan kesihatan dan senaman pelakon, Taufiq Hanafi sentiasa berubah-ubah bagi memastikan tubuh badannya tidak 'manja'.

Taufiq yang juga pelakon filem Ola Bola dan Paskal berkata, setiap hari dia akan ke gimnasium untuk bersenam.

"Selalunya, selepas Subuh dan bersarapan, saya akan mula joging jika saya rasa nak joging pada hari itu.

"Kemudian, jam 10.30 pagi, saya akan gimnasium sehingga jam 1 tengah hari. Kebanyakan rutin senaman saya adalah weightlift atau latihan beban.

"Selepas Maghrib, saya akan kembali ke gimnasium untuk latihan kardio. Kalau tidak pun, saya akan bermain badminton atau bola sepak sekiranya tak ada urusan kerja. Memang rutin saya berubah-ubah untuk pastikan badan tidak 'manja'," katanya.

Berkongsi mengenai diet, Taufiq selesa menjadikan intermittent fasting (IF) atau puasa bersela sebagai salah satu langkah dan caranya.

"Dari segi pemakanan pula, saya kira jumlah pengambilan kalori dan lakukan IF. Namun, dalam seminggu akan ada satu hari cheat day untuk saya makan apa-apa yang saya mahu contohnya, nasi. Bagaimanapun, saya tidak mengambil makanan segera dan banyakkan pengambilan protein," katanya.

Ditanya mengenai bentuk tubuh sasa untuk pelakon, Taufiq tidak menafikan bahawa ada had yang bersesuaian bagi memastikan gandingannya dengan pelakon wanita nampak sesuai.

"Untuk kita orang Asia, kalau badan terlalu besar seperti ahli bina badan akan menjadi masalah juga untuk bergandingan dengan pelakon wanita kerana wanita Asia comel-comel saiznya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 9:00 AM