Ben (tengah) sedia berbincang dengan KAFA.FOTO HM
Ben (tengah) sedia berbincang dengan KAFA.FOTO HM
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Syarikat telekomunikasi tempatan, redONE menyatakan hasrat untuk menjadi penaja utama pasukan Kelantan untuk musim hadapan.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Ben Teh berkata, pihaknya mahu membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang kini menghadapi kemelut kewangan dan tiada penaja.

Katanya, pihaknya bersedia untuk berbincang dengan KAFA bagi merealisasikan hasrat itu (menaja).

"Kita akan cuba membantu dan redONE berhasrat untuk menjadi penaja utama pasukan The Red Warriors (TRW) untuk musim hadapan.

"Pihak kita sudah menjadi penaja TRW selama dua musim berturut-turut iaitu pada tahun 2015 dan 2016, walaupun nilai tajaan tidak besar, namun pihak kami masih menunaikan tanggungjawab selaku peminat pasukan TRW," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan pasukan itu, walaupun ramai tonggak utama berhijrah keluar daripada pasukan.

Katanya, TRW dibarisi pemain muda dan tempatan yang menambahkan lagi keyakinan mereka untuk menjadi penaja utama.

"Menang atau tidak ia tidak penting dan kita mahu pasukan itu mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan KAFA dalam masa terdekat dan yang pasti keputusan akan diumumkan sebelum kongres KAFA 29 Disember nanti," katanya.

Ben berkata, penajaan itu juga adalah satu cara pihaknya untuk menghargai penduduk Kelantan yang juga pengguna tertinggi simkad redONE.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 7:31 PM