Tentera Syria mengawasi orang ramai dan pemberontak yang meninggalkan Alleppo pada hari kedua operasi mengosongkan bandar raya kedua terbesar Syria itu. - Foto AFP
Tentera Syria mengawasi orang ramai dan pemberontak yang meninggalkan Alleppo pada hari kedua operasi mengosongkan bandar raya kedua terbesar Syria itu. - Foto AFP
Agensi

Aleppo: Kerajaan Syria menggantung pemindahan orang awam dan pemberontak dari Aleppo dengan mendakwa pemberontak tidak mematuhi perjanjian dan wakil media di sini, mendengar tembakan serta letupan di Ramussa, kawasan yang dikuasai tentera Syria dan menjadi pusat pemindahan.

“Operasi pemindahan digantung kerana pemberontak tidak mematuhi syarat dalam perjanjian gencatan senjata serta pemindahan,” kata sumber keselamatan Syria.

Menurut AFP, difahamkan, operasi itu dihentikan kerana pemberontak turut membawa tahanan yang ditawan ketika pertempuran sebelum ini, bersama mereka.

Pegawai WHO di Aleppo yang menyelia operasi pemindahan itu mengarahkan anggota Palang Merah dan Bulan Sabit Merah meninggalkan Aleppo.

Bas yang menunggu di Ramussa untuk membawa mereka yang dipindahkan juga sudah meninggalkan kawasan itu selepas kejadian tembakan dan letupan.

Reuters melaporkan, lebih 8,000 orang awam sudah dipindahkan dari Aleppo dalam enam konvoi bas dan ambulans ke Idlib dan kira-kira 50 orang yang cedera parah sudah dibawa ke Turki untuk rawatan lanjut.

Dianggarkan 50,000 orang masih terperangkap di timur Aleppo yang sebelum ini dikuasai pemberontak.

Gencatan senjata tajaan Russia dan Turki bagi menyelamatkan orang awam di bandar raya kedua terbesar Syria itu diharap dapat memindahkan semua orang awam yang masih terperangkap.

Turki yang membantu proses pemindahan itu, membenarkan mereka yang cedera dirawat di negaranya dan pertubuhan bukan kerajaan Turki (NGO) sedang menyediakan 10,000 khemah dekat sempadan negara itu dalam wilayah Aleppo.

Kira-kira 70,000 terbabit dalam pemindahan itu dengan 30,000 akan ditempatkan di kem pelarian di Idlib yang dikendalikan NGO Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 5:59 PM