SEORANG lelaki duduk di atas kerusi roda sementara menanti untuk dibawa ke khemah sementara di al-Rashideen selepas tiba dengan bas dari timur Aleppo.   - Reuters
SEORANG lelaki duduk di atas kerusi roda sementara menanti untuk dibawa ke khemah sementara di al-Rashideen selepas tiba dengan bas dari timur Aleppo. - Reuters
PENDUDUK awam yang dipindahkan dari timur Aleppo tiba di bandar Khan al-Assal di barat wilayah itu yang masih dikuasai kumpulan penentang Bashar, semalam. - AFP
PENDUDUK awam yang dipindahkan dari timur Aleppo tiba di bandar Khan al-Assal di barat wilayah itu yang masih dikuasai kumpulan penentang Bashar, semalam. - AFP
Agensi

Istanbul: Kira-kira 12,000 orang awam dipindahkan dari timur Aleppo sejak tengah malam kelmarin, kata Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu semalam.

Puluhan bas membawa ribuan penduduk dari kawasan itu tiba di kawasan yang dikuasai pejuang penentang Bashar di barat wilayah berkenaan.

Dalam pada itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, 47 kanak-kanak yang terperangkap di kawasan berkenaan juga dipindahkan semalam.

Pengarah serantau UNICEF, Geert Cappelaere berkata, sebahagian mereka dalam keadaan kritikal akibat kecederaan dan kebuluran.

Agensi berkenaan dan agensi lain juga berusaha membantu menyatukan semula kanak-kanak yang dipindahkan dengan keluarga masing-masing, katanya.

Pada masa sama, 10 bas juga meninggalkan dua kampung Syiah, al-Foua dan Kefraya di utara Idlib, menuju ke kawasan yang dikuasai kerajaan di barat Aleppo.

Pemindahan penduduk awam, termasuk mereka yang cedera dari kedua-dua kampung itu dituntut oleh tentera Syria dan sekutu Syiahnya sebelum mereka membenarkan kumpulan penentang dan orang awam yang terperangkap meninggalkan timur Aleppo.

Di Idlib, pekerja bantuan berkata, lebih 60 bas tiba dari timur Aleppo. Sebahagian mereka dibawa ke rumah anggota keluarga atau penduduk lain sementara yang lain ditempatkan di khemah sementara.

Pemindahan semalam adalah hasil rundingan antara Russia - penyokong utama rejim Bashar al Assad - dan Turki, yang menyokong sebahagian kumpulan penentang.

Ia sekali gus memberikan tentera Bashar penguasaan penuh ke atas seluruh Aleppo, bandar kedua terbesar Syria yang sebelum perang saudara meletus terkenal sebagai hab ekonomi negara itu.

Penguasaan semula Aleppo itu menjadi kemenangan terbesar Bashar sejak perang saudara meletus enam tahun lalu.

Sementara itu, Ahmad al-Dbis yang mengetuai sekumpulan doktor dan sukarelawan yang menyelaraskan pemindahan itu berkata, sebahagian penduduk berada dalam keadaan teruk selepas terpaksa menunggu lebih 16 jam di pusat pemeriksaan tentera Syria tanpa dibenarkan turun.

“Mereka tidak makan atau minum. Kanak-kanak diserang selesema. Mereka juga tidak dibenarkan ke tandas,” kata Dbis.

Penduduk timur Aleppo, kubu kuat penentang Bashar sejak 2012, hidup menderita selepas dikepung selama empat bulan oleh tentera Syria sebelum menjadi sasaran serangan udara dan meriam November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 9:55 AM