Bekas pemain negara perlu diberi peluang berada dalam FAM. FOTO FAIL HM
Bekas pemain negara perlu diberi peluang berada dalam FAM. FOTO FAIL HM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu diterajui individu mempunyai pengetahuan luas mengenai bola sepak bagi mengembalikan kegemilangan sukan tanah air, kata legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh.

Beliau menegaskan ia penting bagi memastikan badan induk itu dapat menjalankan peranannya dengan lebih berkesan.

"Individu pernah bermain bersama negeri atau negara juga sepatutnya duduk dalam persatuan itu. Saya melihat bekas pemain negara perlu diberi peluang berada dalam FAM," katanya.

Santokh berkata selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan lelongan amal anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) di ibu pejabat MIA di sini.

Bekas pemain pertahanan negara era 70-an itu turut menegaskan sudah tiba masanya perubahan menyeluruh membabitkan pucuk pimpinan FAM dilakukan susulan kegagalan skuad Harimau Malaysia pada saingan Piala AFF Suzuki di Myanmar, bulan lalu.

"Piala AFF pun pasukan kita tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan, bukankah itu maksudnya kita perlu melakukan perubahan menyeluruh terhadap FAM," katanya.

Sebelum ini, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan Tunku Mahkota Johor, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat disebut-sebut antara calon untuk jawatan Presiden FAM.

Pada majlis itu, Santokh dan Presiden MIA Datuk Mohammad Faiz Azmi menyerahkan hasil lelongan sebiji bola berjumlah RM25,000 kepada wakil Tabung Amanah Kanser Urologi.

Bola itu ditandatangani Santokh bersama tiga lagi legenda bola sepak negara iaitu Datuk Soh Chin Aun, Datuk Hassan Sani dan Datuk James Wong yang berjaya dijual pada satu lelongan amal bulan lalu.

Tabung Amanah Kanser Urologi ditubuhkan Blue Cap Movement di bawah Universiti Malaya pada tahun lepas bagi membantu mengurangkan kos rawatan yang dihadapi pesakit kanser prostat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 10:07 PM