Fifa terus memberi penghormatan kepada bekas pemain bola sepak negara. FOTO Ihsan FAM
Fifa terus memberi penghormatan kepada bekas pemain bola sepak negara. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Empat legenda negara diisytihar sebagai ahli terbaharu Kelab Abad Fifa, termasuk Datuk Soh Chin Ann yang disahkan sebagai pemilik caps antarabangsa terbanyak dengan mengumpul 195 caps sepanjang 15 tahun menyarung jersi Malaysia.

Pengesahan ini disampaikan oleh Fifa, hari ini menerusi kemas kini terbaharu terhadap keanggotaan Kelab Abad Fifa atau Fifa Century Club yang dikhaskan untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas.

Selain Chin Ann, Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh adalah anggota terbaharu dari Malaysia yang menyertai senarai berprestij itu berasaskan statistik rasmi Fifa dengan kerjasama RSSSF.

Terdahulu tiga legenda, Datuk Abdul Shukor Salleh (163 caps), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138 caps) dan mendiang Datuk R Arumugam (131 caps) diberi pengiktirafan menganggotai Kelab Abad Fifa.

Walaupun penampilan keseluruhan Chin Ann dicatat oleh FAM sebagai 252 caps, Fifa mengiktiraf 195 perlawanan Kategori A yang membabitkan anak jati Melaka itu.

Zainal Abidin pula, mencatat 170 penampilan mengikut rekod FAM, bermula dari Pestabola Merdeka 1980 sehingga Sukan SEA 1997, termasuk empat kali penyertaan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 1985, 1989, 1993 dan 1997.

Chandran yang meninggal dunia pada 2019, secara rasmi tersenarai pada pra-Piala Asia 1963 dan menamatkan kerjaya dengan memungut pingat gangsa di Sukan Asia Tehran 1974 selepas mengumpul 163 caps mengikut rekod FAM.

Santokh, 69, pula secara rasmi menyarung jersi negara pada pra-Piala Dunia 1973 di Seoul dan mengumumkan persaraannya sekembali pulang dari jelajah di New Zealand bagi menghadapi pra-kelayakan Olimpik 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 10:34 PM