(DARI kiri) Lazarus Jensen Xavier, San Boon Wah, Dollah, Indra Putra Mahayuddin, Rangel bersama sebahagian pemain Spurs, semalam.
(DARI kiri) Lazarus Jensen Xavier, San Boon Wah, Dollah, Indra Putra Mahayuddin, Rangel bersama sebahagian pemain Spurs, semalam.
Oleh Esme Johari Wahab

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh menyifatkan tindakan menurunkan pemain import beraksi menyarung jersi skuad Pilihan Malaysia menentang Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam, malam ini memalukan bola sepak negara.

Bekas bek kental itu menegaskan perlawanan itu tidak wajar diadakan kerana seolah-olah memperkecil serta menafikan kemampuan pemain tempatan hingga menyebabkan mereka terpinggir untuk memberi laluan kepada pemain import dalam senarai 20 pemain.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan jurulatih Dollah Salleh.

“Apakah maksudnya Pilihan Malaysia? Siapa memilih mereka dan apakah mereka pemain Malaysia? Apa masalahnya jika meletakkan pemain Malaysia beraksi menentang pasukan berstatus kelab itu?

“Bukankah tindakan itu memalukan skuad kebangsaan kerana pemain mempunyai impian dan berasa bangga menyarung jersi negara? Apakah pemain kita tidak kecil hati?

“Andai tewas pada perlawanan itu dengan 100 peratus pemain kebangsaan, saya boleh berasa bangga kerana mereka merasai pengalaman bermain dengan kelab berprofil tinggi Inggeris yang pernah menjuarai Piala UEFA Eropah.

“Saya tidak mahu bercakap banyak, anda tanya FAM sendiri. Jika saya tanya awak pula, apakah awak bangga slot pemain kita diisi pemain luar negara dan anda sendiri diketepikan atas nama Pilihan Malaysia? Pendekatan ini sudah tentu merendahkan moral pemain Malaysia,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Perlawanan persahabtan itu aksi kedua selepas Spurs menewaskan Jemputan Selangor 4-0 pada 1979 di Stadium Merdeka. Kali ini mereka akan menentang Pilihan Malaysia yang diperkuat khidmat Paulo Rangel (Terengganu), Robert Cornthwaite serta Guilherme de Paula (Selangor) dan Ashfaq Ali (PDRM).

Skuad Spurs kendalian Mauricio Pochettino menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga kelima akan menurunkan skuad terkuat dibarisi Harry Kane, Erik Lamela, Andros Townsend dan ramai lagi.

Santokh yang menganggotai skuad 1979 Selangor bersama penjaga gol ‘Spiderman’ mendiang R Arumugam berkata: “Saya tidak tahu pandangan atau komen bekas pemain kebangsaan lain tetapi saya dapat rasakan mereka berkongsi sentimen dengan saya.

“Saya bangga andai semua pemain Malaysia beraksi kerana perlawanan itu menemukan pasukan utama negara kita dan lawannya pula kelab! Tidak perlu saya bercakap lebih banyak kerana anda tidak akan menulis apa saya cakap.”

Santokh berkata, beliau tidak berminat menonton perlawanan itu.

“Saya tidak mahu pergi ke stadium melihat Pilihan Malaysia menentang Tottenham. Ia memalukan pasukan kebangsaan kerana tiada input untuk pemain kita sendiri dan FAM perlu bercakap rasional perlawanan itu.

“Jika anda tidak tulis, jangan datang jumpa saya kerana saya tidak berminat bercakap jika awak tidak menulisnya,” katanya.

“Saya pun tak faham apa maksud mereka (FAM) pasukan Pilihan Malaysia kerana saya tidak rasa pasukan itu pilihan rakyat Malaysia mencintai pasukan kebangsaan kita.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 8:51 AM