Abdul Latif (kanan) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang berjaya dirampas di dalam sebuah lori kontena di hadapan tol Pendang, ketika mengadakan sidang media di Kompleks Kastam, hari ini.  FOTO Amran Hamid
Abdul Latif (kanan) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang berjaya dirampas di dalam sebuah lori kontena di hadapan tol Pendang, ketika mengadakan sidang media di Kompleks Kastam, hari ini. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Kedah merampas ayam sejuk beku dan mercun serta bunga api yang diseludup ke negara ini di dua lokasi berasingan di negeri ini pada 30 November dan 9 Disember lalu.

Pengarah JDKM Kedah, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam serbuan pada 30 November kira-kira jam 11 malam, anggotanya menahan sebuah lori kontena dan pemandunya

berusia 29 tahun berhampiran Tol Hutan Kampung dekat sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, lelaki terbabit menunjukkan borang yang diikrar sebagai ikan beku sebanyak 1,000 kotak dan siasatan lanjut menemui 138 kotak dengan berat 2,760 kg sahaja.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut menemui 2,130 kotak ayam beku seberat 25.56 tan kg yang dianggarkan bernilai RM110,520.

"Dalam rampasan kedua pada 9 Disember lalu, anggota kami menahan sebuah kontena dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dan kelindannya berusia 22 tahun di hadapan Plaza Tol Pendang, pada 7 malam.

"Pemeriksaan borang ikrar mendapati kontena itu membawa 1,500 bungkus baja, namun siasatan lanjut menemui 68 bungkus baja," katanya pada sidang media hari ini.

Abdul Latif berkata, pemeriksaan lanjut menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api seberat 7,166 kg bernilai RM182,700 dengan jumlah duti/cukai RM107,793.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barang larangan / belum lulus kastam dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Abdul Latif menyerahkan tugasnya kepada Johari Alifiah yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Teknik JDKM Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 4:49 PM