JOHARI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO Amran Hamid
JOHARI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli

am@hmetro com.my

Bukit Kayu Hitam: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Kedah merampas 39,333 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM700,754 termasuk cukai dalam kontena di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, Ahad lalu.

Pengarah Kastam Kedah, Johari Alifiah berkata, pemeriksaan terhadap kontena pada 8.30 malam menemui mercun dan bunga api dipercayai diseludup dari negara jiran dalam ruang belakang kontena.

Beliau berkata, pemandu treler yang juga lelaki tempatan berusia 46 tahun itu menunjukkan borang ikrar yang dipalsukan.

"Borang ikrar itu sepatutnya membawa barangan cecair kumur mulut tetapi disalahgunakan dengan membawa bahan larangan itu.

"Kita percaya mercun dan bunga api itu untuk stok perayaan Aidilfitri nanti namun kami berjaya menggagalkan cubaan itu," katanya pada sidang media di Bahagian Penguat kuasaan Kastam di sini hari ini.

Johari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e)Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang larangan atau belum lulus kastam.

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih 20 kali atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 5:30 PM