CEF Eksekutif Sous, B Murugan dan Cef Ismail bersama hidangan istimewa Krismas.
CEF Eksekutif Sous, B Murugan dan Cef Ismail bersama hidangan istimewa Krismas.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Hidangan ayam belanda panggang yang menjadi tradisi perayaan Krismas antara tarikan istimewa di Hotel The Light Seberang Jaya, Pulau Pinang dalam meraikan sambutan Krismas dan tahun baru.

Malah, ruang lobi hotel yang dihiasi pokok krismas, patung salji dan kereta berhias diiringi lampu berwarna-warni menceriakan suasana.

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Hotel The Light, Siti Fatimah Packeer Mohd berkata, bufet makan malam disediakan bagi membolehkan pelanggan meraikan hari gembira bersama keluarga dan rakan taulan.

Beliau berkata, bufet dan hidangan set disediakan mengikut selera dan cita rasa masing-masing bagi memberikan kepuasan kepada pengunjung.

“Menu istimewa iaitu ayam belanda panggang disumbat dengan epal dan kismis yang dihidangkan bersama sos giblet, sos kranberi dan sos oren pudina pasti merangsang setiap deria rasa.

“Malah, lebih istimewa tahun ini, Cef Ismail Ibrahim memberikan kelainan dengan menyediakan ayam belanda bersama sos berkrim putih dikenali sebagai ‘Cold Turkey Display’,” katanya.

Antara hidangan lain adalah kaki kambing diperap dengan herba Itali, daging bakar lada benggala dan sos bawang putih, tiram berkeju, salmon dengan sos anggur hitam, tumis daging bebiri ala Itali, ayam madu serta ayam panggang dengan kuah thyme.

Beliau berkata, menu pembuka selera adalah ‘Seafood on Ice’, ‘Smoked Salmon dengan Rock Melon’, ‘Chicken Terrine’ dengan sos kranberi dan pelbagai lagi salad segar.

“Selain itu, beberapa hidangan sampingan lain seperti stew, kentang panggang, pelbagai jenis roti, nasi bawang putih kukus dan beberapa masakan tempatan lain turut disediakan sebagai hidangan pengunjung.

“Malah, hidangan ‘The Light Signature’ iaitu nasi beriani kambing, kurma ayam belanda, ayam shawarma, sambal udang, itik salai dipanggang, siakap kukus dengan sos putih tomyam dan kupang lada hitam antara tarikan istimewa buat pengunjung,” katanya.

Siti Fatimah berkata, aneka dim sum dan brokoli bersama makanan laut pasti menggamit selera pengunjung serta makanan ala minit seperti kuetiau goreng dan makanan laut panggang tidak kurang hebatnya.

Beliau berkata, tidak lengkap jika hidangan hebat tidak disusuli pemanis mulut seperti puding Krismas dengan sos vanila, souffle coklat, kek tiramusi teh hijau, kek Pear William, pai meringue lemon, Krismas Yule Log’ dan banyak lagi.

Beliau berkata, pilihan hidangan set termasuk pembuka selera, sup, sorbet, pilihan hidangan utama, pemanis mulut serta kopi dan teh di Flavour@Tingkat 3 hotel berkenaan yang turut menjadi tarikan menerusi harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 5:28 AM