CEF Noppanome Juan dan Cef Sous, Hamizi Hamid menunjukkan ayam piru panggang yang istimewa.
CEF Noppanome Juan dan Cef Sous, Hamizi Hamid menunjukkan ayam piru panggang yang istimewa.
Muhammad Shalaby Shahbuddin

Hotel Sunway Seberang Jaya dan Sunway Hotel Georgetown mengadakan promosi bufet makan malam sebelum Krismas menggabungkan makanan Timur dan Barat di kedua-dua hotel itu bermula dari jam 6.30 petang hingga 10.30 malam 24 Disember ini.

Manakala bufet makan malam tahun baru pada 31 Disember ini bermula pada jam 6.30 petang diadakan di Sun Cafe di Hotel Sunway Seberang Jaya dengan harga RM88 (dewasa), RM65 (warga emas) dan RM58 (kanak-kanak).

Ketua Cef Noppanome Juan @ Nopp berkata, lebih 50 jenis makanan yang menepati selera masyarakat berbilang kaum di negara ini menanti pengunjung.

Beliau berkata, selain menu utama, hidangan makanan laut dan sup, dua jenis stesen makanan Asia dan Amerika disediakan buat pengunjung bagi memberi lebih pilihan.

“Dua stesen makanan itu menawarkan 12 menu dan antara hidangan yang wajib dicuba adalah daging panggang dengan sos lada salai dan kambing rebus dengan sos bawang putih.

“Selain itu, udang harimau bakar boleh dinikmati bersama ketam bunga lada hitam di samping kentang kecil panggang dihidangkan dengan nasi Pilaf klasik,” katanya.

Nopp berkata, menu tradisi iaitu ayam piru panggang dengan kuah tersendiri dan sos kranberi tidak harus dilepaskan selain hidangan kaki kambing panggang bersama sos cendawan dan sos lada hitam pudina.

Beliau berkata, bagi pencinta makanan laut, disediakan salmon, udang harimau dan kerang yang segar disajikan dengan pelbagai sos seperti sos tabasco, wasabi dan sos biji sawi Dijon.

“Tidak lengkap sajian anda tanpa hidangan pencuci mulut yang menampilkan beberapa ciptaan terbaik Penolong Pastri Cef Huzaimi antaranya pai daging cincang Krismas, kek tradisional ‘Stollen Krismas’ dan pelbagai pastri dari Perancis.

“Tidak ketinggalan masakan sejuk seperti udang sejuk dengan Cilantro Salsa dalam gelas dan daging jeruk dengan Gherkin yang lazat, sekali gus bufet ini sesuai untuk seisi keluarga. Anak pula boleh menikmati salad pasta dengan tomato kering,” katanya.

Bagi menyambut hari Krismas, pihak Hotel Sunway Georgetown turut mengundang penyanyi ‘Carrolers’ untuk memeriahkan suasana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 12:31 PM