HIDANGAN menarik sempena sambutan Krismas di Hotel One World Petaling Jaya.
HIDANGAN menarik sempena sambutan Krismas di Hotel One World Petaling Jaya.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Krismas yang akan diraikan esok pastinya menjadi hari yang ditunggu-tunggu semua penganut agama Kristian di seluruh dunia untuk berkumpul bersama keluarga tersayang.

Jika anda berada di sekitar Lembah Klang dan inginkan sambutan yang berlainan, bawalah seisi keluarga ke Cinnamon Coffee House Hotel One World, Petaling Jaya untuk menikmati hidangan makan malam Mystical Noel menarik dengan harga berpatutan.

Menerusi promosi hidangan ini, pengunjung berpeluang menikmati beraneka juadah lazat seperti ayam belanda panggang bersama buah berangan, daging panggang, ayam Cordon Bleu, daging kambing Cassoulet Bourguignon serta udang panggang bersama pesto dan gajus.

Selain itu, hidangan ikan mentega bersama sos lada hitam, pai bayam berkeju, hirisan daging kambing au gratin serta frikasi ayam bersama cendawan turut disediakan untuk pengunjung.

Tidak terkecuali, pelbagai jenis hidangan pembuka selera dan pencuci mulut lazat yang pasti mampu menambat selera.

Promosi hidangan ini boleh dinikmati hari ini dan esok bermula jam 6.30 petang.

Bayaran untuk pengunjung dewasa adalah RM128 serta segelas moktel manakala RM64 bagi kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.

Sementara itu, restoran berkenaan turut mengalu-alukan orang ramai untuk menikmati hidangan makan malam menarik yang disediakan sempena meraikan kehadiran tahun baru.

Untuk pembuka selera, mulakan dengan hidangan Turki Pate bersama sos kranberi atau makanan laut segar yang dihidangkan bersama beraneka jenis beri.

Selain itu, sotong yang dipanggang bersama bawang dan daun kucai atau salad ayam bersama rempah cajun juga tidak kurang enaknya untuk dicuba.

Bagi yang gemarkan cita rasa Barat, jangan ketinggalan untuk mencuba hidangan piza bolognais daging, filet ayam mahupun makanan laut.

Makanan segar ala Jepun disediakan dan antara menu menarik termasuklah ikan mentega, sashimi salmon, sotong segar, gulungan futomaki dan banyak lagi.

Untuk hidangan utama pula, nikmati keenakan hidangan daging kambing, ikan mentega bersama tomato dan sos basil, ayam panggang bersama sayuran dan stik.

Melengkapkan lagi hidangan, ada beraneka jenis pencuci mulut lazat seperti trufel coklat pisang, kek pic Mousseline, tart strawberi, coklat fondue dan beraneka lagi.

Promosi menarik ini boleh dinikmati pada 31 Disember bermula jam 6.30 petang. Pengunjung dewasa dikenakan bayaran RM128 manakala kanak-kanak empat hingga 12 tahun, RM64.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:01 AM