MOHD Badlisham (dua dari kiri) dan Valiram (tiga dari kanan) melihat koleksi jam tangan Rolex yang dipamerkan di butik Rolex di Bangunan Satelit, KLIA.
MOHD Badlisham (dua dari kiri) dan Valiram (tiga dari kanan) melihat koleksi jam tangan Rolex yang dipamerkan di butik Rolex di Bangunan Satelit, KLIA.
Mohd Husni Mohd Noor

Sepang: Pengedar jenama jam tangan mewah, Swiss Watch Gallery yang dimiliki Kumpulan Valiram meraikan pembukaan butik Rolex terbarunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Valiram Sharan Valiram berkata, pihaknya mengambil langkah berani membuka butik berkenaan sambil menyifatkan ia satu peluang yang strategik dan tidak dijangka.

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) untuk membuka butik Rolex di KLIA, sekali gus meletakkannya setanding dengan butik Rolex lain yang dikendalikan kumpulannya di lapangan terbang utama di Bangkok, Thailand Singapura dan Hong Kong.

“Kerjasama Valiram dan MAHB bukti kepada kepercayaan dan keyakinan yang pernah dibina sebelum ini terutama menerusi butik pertama kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 2001,” katanya berucap pada majlis pembukaan butik Rolex di KLIA, di sini, semalam.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Badlisham Ghazali turut hadir bagi meraikan pembukaan butik Rolex yang terletak di Bangunan Satelit, KLIA.

Katanya, butik berkeluasan 79.90 meter persegi itu memaparkan pelbagai koleksi jam tangan Rolex.

Sharan berkata, Swiss Watch Gallery menawarkan pengalaman beli-belah yang menarik melalui reka bentuk butik yang elegan dan moden selain disokong perkhidmatan yang terbaik.

Menurutnya, Swiss Watch Gallery memulakan kerjaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 2001 dengan 16 jenama.

“Sejak itu, perniagaan kami berkembang di seluruh Malaysia dan Singapura dimana lapan butik Swiss Watch Gallery diwujudkan yang turut mengendalikan pelbagai jenama mewah seperti IWC Schaffhausen, Montblanc, Chopard, Chanel dan Bulgari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 7:13 AM